WILAYAH - SABAH > BERITA

MUIS Laksana Pelbagai Inisiatif Tingkat Pemilikan Sijil Halal Di Sabah

20/08/2024 05:39 PM

KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) -- Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengambil langkah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah meningkatkan peluang pengusaha dan pemain industri tempatan Sabah untuk memiliki sijil halal.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha MUIS Ramlan Awang Ali berkata inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah dan Majlis Amanah Rakyat itu antara lain merangkumi ceramah kesedaran mengenai kepentingan pemilikan sijil halal.

Beliau yang juga Pengerusi Pengesahan Sijil Halal Sabah Malaysia berkata pihaknya turut proaktif dalam usaha mempercepat proses pensijilan halal dengan menambah bilangan daya kerja merangkumi 13 pegawai juruaudit dan 23 pegawai pemantau, selain melancarkan perisian aplikasi Halal Sabah.

"Usaha ini diharap akan dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran dalam kalangan usahawan tempatan khususnya usahawan makro sekali gus mengalakkan mereka untuk mendapatkan sijil halal di negeri ini.

“Proses pemilikan sijil halal bukanlah satu perkara yang sulit atau pun mustahil, tetapi hanya memerlukan komitmen tinggi daripada mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Simposium Halal Antarabangsa 2024 di sini hari ini.

Seramai 106 peserta daripada 14 negara menghadiri program dua hari anjuran Universiti Malaysia Sabah menerusi Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan antara lain bertujuan meneroka kemajuan, cabaran dan peluang terkini dalam ekosistem halal yang luas dan dinamik bagi memajukan industri halal.

Ramlan berkata MUIS juga sedang berusaha memastikan proses pemilikan sijil halal di Sabah dapat dilakukan dalam kadar segera antaranya menerusi pelaksanaan pengesahan, perakuan dan kelulusan untuk mana-mana syarikat yang telah diaudit setiap dua minggu.

Ini bagi memudahkan usahawan mendapat pelbagai faedah daripada pemilikan sijil halal, katanya sambil menambah para pemohon perlu menghantar dokumen lengkap dan bertepatan dengan kriteria ditetapkan oleh MUIS bagi membolehkan pemilikan sijil halal diperoleh segera.

Ramlan turut menggesa pengusaha tempatan untuk memuat turun aplikasi Halal Sabah bagi memudahkan mereka mengetahui lebih lanjut mengenai prosedur permohonan sijil halal.

"Perolehan sijil halal akan dapat meningkatkan integriti usahawan dan keyakinan masyarakat untuk menggunakan produk diusahakan serta dapat memberi imej baik kepada pengusaha," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan