WILAYAH - SABAH > BERITA

Kerajaan Lulus Peruntukan RM60 Juta Bina Fasa Tiga IPDAS Keningau

20/08/2024 05:44 PM

KENINGAU, 20 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM60 juta untuk melaksanakan pembinaan fasa ketiga Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau bagi menampung pertambahan pelajar sebanyak 300 orang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembinaan yang sedang berjalan itu dijangka siap pada Mac 2026 sekali gus membolehkan IPDAS Kampus Keningau menampung kapasiti 700 mahasiswa.

"Saya yakin dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan pensyarah dan tenaga kerja terlatih dan mencukupi. Ia bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra lebih kondusif kepada mahasiswa dan warga kerjanya bahkan melonjakkan kualiti pendidikan di negeri ini.

"Saya amat mengalu-alukan langkah kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaik taraf kemudahan pendidikan di Sabah khususnya IPDAS,” katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-18 di sini hari ini.

Beliau berkata istiadat konvokesyen itu merupakan simbol kejayaan IPDAS dalam melahirkan warga berilmu dan bertakwa setanding dengan institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

Hajiji yakin sebagai institusi pendidikan tinggi di bawah JAKIM, IPDAS mampu menggalas tanggungjawab melahirkan generasi ‘rabbani’ berpendidikan tinggi serta membentuk modal insan berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah mempelawa pelabur datang dan melabur ke negeri itu dengan tujuan mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda.

Beliau berkata ini juga akan mendedahkan anak tempatan kepada berbagai jenis latihan kemahiran selain menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaatkan oleh rakyat Sabah.

"Ini sebenarnya aktiviti ke arah pembangunan modal insan serta pembangunan sektor ekonomi negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri sekarang," katanya.

Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa memastikan anak negeri itu dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi menerusi pelbagai inisiatif disediakan seiring matlamat mengutamakan pembangunan pendidikan dalam melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan