BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Denggi Sedikit Meningkat Pada ME33, Tiga Kematian Direkod

24/08/2024 05:39 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Kes demam denggi mencatatkan sedikit peningkatan kes pada Minggu Epidemiologi ke-33 (ME33) iaitu bagi tempoh 11 Ogos hingga 17 Ogos lepas kepada 2,294 kes berbanding 2,278 kes pada minggu sebelumnya, dengan tiga kematian akibat komplikasi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME33 adalah sebanyak 92,827 kes berbanding 75,928 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Terdapat 83 kematian akibat  komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 54 kematian bagi  tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME33 adalah 91 lokaliti berbanding 86 lokaliti pada minggu sebelumnya, dan daripada 91 lokaliti yang dilaporkan, 74 lokaliti di Selangor, masing-masing tiga di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Sabah serta masing-masing satu di Kedah dan Pulau Pinang.

Merujuk kepada survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkada terdapat dua kes direkodkan pada ME33, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 66 kes dan tiada wabak chikungunya dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata 1,721 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel serebrospinal telah disaring dan kesemua mencatatkan keputusan negatif.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa berdasarkan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, pemilik premis yang didapati mempunyai pembiakan nyamuk Aedes  boleh dikenakan kompaun sehingga nilai maksima RM500 dan tindakan  mahkamah akan dikenakan sekiranya gagal menjelaskan bayaran kompaun yang ditawarkan.

Di bawah akta itu pemilik premis yang disabitkan kesalahan di mahkamah bagi kesalahan kali pertama boleh dikenakan denda  maksima RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan kedua, denda maksima adalah sebanyak  RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.  

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan