WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Terbuka Jepun : Sze Fei-Nur Izzudin Rangkul Kejuaraan Sulung Musim Ini, Benam Juara Dunia

25/08/2024 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani merangkul kemenangan sulung mereka musim ini, selepas menundukkan juara dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada Terbuka Jepun 2024 hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Yokohama Arena pasangan kini di kedudukan ke-12 dunia itu yang pada mulanya ketinggalan, berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan 15-15 sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-19.

Set kedua menyaksikan Sze Fei-Nur Izzudin meneruskan momentum kemenangan untuk terus mendominasi perlawanan sebelum mengakhiri saingan dengan 21-15, untuk menjuarai kejohanan berstatus Super 750 itu dan membawa pulang hadiah wang kemenangan US$62,900 (RM274,000).

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun kejuaraan beregu lelaki negara pada Terbuka Jepun, selepas kali terakhir dimenangi menerusi gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada 2002.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan untuk menerima permohonan Sze Fei-Nur Izzuddin bergerak secara profesional bermula 1 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan