WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCMC Akan Jalankan Siasatan Awam Mengenai Pelesenan Media Sosial

27/08/2024 11:25 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan siasatan awam mengenai langkah pelesenan yang dirancang bagi media sosial dan rangka kerja penyedia perkhidmatan pesanan internet.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata siasatan itu dijalankan bagi memastikan rangka kerja akhir adalah adil, berkesan, dan mencerminkan keperluan kedua-dua pihak industri dan orang ramai.

MCMC berkata sejak Kabinet meluluskan rangka kerja itu pada 8 Mac, perbincangan dalam spektrum yang lebih luas dengan pihak kepentingan, termasuk penyedia perkhidmatan, pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang, telah diadakan.

"Penglibatan berterusan ini amat penting dalam membangunkan kerangka kerja kawal selia yang menangani keperluan dan kebimbangan semua pihak," menurut kenyataan itu.

MCMC berkata keperluan pelesenan untuk media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar diperkenalkan sebagai langkah penting ke arah persekitaran dalam talian yang lebih selamat, termasuk dalam menangani isu perjudian dalam talian, penipuan dan pornografi.

"Kerangka kerja kawal selia direka untuk memastikan ekosistem dalam talian kekal terbuka, selamat dan boleh dipercayai untuk semua pengguna sambil menggalakkan inovasi dan pelaburan.

“Permohonan lesen mengikut kelas tertentu yang dirumuskan itu hanya terpakai kepada pihak penyedia perkhidmatan, manakala pengguna akhir tidak memerlukan pendaftaran,” katanya.

MCMC berkata tempoh penangguhan selama lima bulan telah diberikan kepada semua platform untuk mematuhi keperluan pelesenan itu. Ia akan terlibat secara aktif dengan penyedia perkhidmatan untuk memudahkan peralihan yang lancar ke dalam kerangka kerja berkenaan menjelang 1 Jan tahun depan. 

"Dengan mengambil kira semua perkara ini, MCMC menggesa penyedia perkhidmatan melakukan segala usaha yang termampu untuk memastikan operasi mereka selari dengan undang-undang dan peraturan tempatan," katanya.

Dalam perkembangan berkatian, MCMC hari ini telah menegur sebuah kumpulan industri iaitu Asia Internet Coalition (AIC), kerana mendakwa ia mewakili beberapa buah syarikat teknologi yang disenaraikan dalam surat kepada Perdana Menteri, meminta supaya ditangguhkan pelaksanaan pelesenan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan Internet.

Badan kawal selia itu memaklumkan bahawa, surat tersebut telah dikemas kini dua kali dengan logo beberapa syarikat yang disertakan dalam versi pertama, telah dikeluarkan daripada versi yang diubah semula.

MCMC mengulas mengenai fakta bahawa Grab Malaysia menafikan yang mereka telah dirujuk sebelum pengeluaran surat tersebut oleh AIC.

Dalam isu tersebut, MCMC telah meminta AIC untuk memberikan bukti bahawa mereka telah diberikan keizinan daripada syarikat-syarikat terbabit, untuk mengeluarkan surat itu yang bertarikh 23 Ogos dan ditandatangani oleh Pengarah Urusannya Jeff Paine.

“Sila berikan MCMC dengan segera pemberian kuasa ini, supaya kami dapat memahami dengan lebih menyeluruh mengenai surat itu, yang sukar untuk kami fahami,” menurut MCMC dalam surat kepada AIC hari ini.

MCMC juga menafikan dakwaan bahawa AIC telah tidak dirujuk berhubung rangka kerja pelesenan kerana rekod yang ada menunjukkan bahawa AIC telah dilibatkan dengan sewajarnya dalam sesi keterlibatan yang diadakan pada 28 Mei.

MCMC mengulangi penyataan bahawa penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk melindungi penggunanya dan memastikan penggunanya mematuhi undang-undang negara apabila beroperasi di Malaysia dan menyatakan bahawa tidak ada sebab mengapa keperluan pelesenan dan operasi perniagaan tidak boleh wujud secara bersama demi kepentingan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan