WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lesen Media Sosial: Kerajaan Terbuka Terima Input Pelbagai Pihak - Fahmi

28/08/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terbuka untuk menerima sebarang input daripada pelbagai pihak berkaitan pelaksanaan pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet oleh kerajaan.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata sesi libat urus akan diteruskan dengan semua pihak berkepentingan sebelum pelaksanaan lesen media sosial dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

“Kerajaan kekal dengan pendirian bahawa platform media sosial dan pesanan Internet perlu dikenakan kerangka kawal selia untuk menjamin Internet lebih selamat bagi seluruh rakyat Malaysia, terutama kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Fahmi berkata demikian dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini berhubung pertemuan beliau dengan pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Centre For Independent Journalism (CIJ) Khamis lepas.

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung di pejabat beliau di Putrajaya itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan pegawai-pegawai kanan daripada MCMC.

Fahmi berkata pertemuan dan perbincangan yang diadakan itu telah berlangsung dengan semangat keterbukaan yang cukup baik.

“Saya juga telah terima memorandum daripada pihak Bersih dan akan teliti cadangan-cadangan berkenaan,” katanya yang turut berterima kasih atas usaha yang dilakukan oleh Bersih dan CIJ.

Sementara itu, Bersih menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasminya pada 23 Ogos lepas memaklumkan pihaknya telah mengemukakan lima pendirian cadangan pelesenan platform media sosial dan pesanan Internet oleh kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan