WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUSKOP Terima 1,165 Permohonan Pendaftaran Koperasi Tahun Ini - Ewon

28/08/2024 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima sebanyak 1,165 permohonan bagi pendaftaran koperasi untuk tahun ini setakat Julai lepas dengan 524 daripadanya telah diproses, berjaya didaftarkan serta diberikan sijil. 

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata pada tahun lepas, sebanyak 1,001 koperasi baharu telah didaftar, yang disifatkan sebagai satu rekod bagi pendaftaran koperasi. 

“Ini satu rekod terbesar dalam sejarah pendaftaran koperasi kerana tidak pernah mencecah sehingga 1,000 pendaftaran koperasi dalam satu tahun,” katanya ketika menjadi tetamu Rancangan Bicara Naratif  bertajuk 'Gerakan Koperasi Penyumbang KDNK Negara' yang disiarkan oleh RTM. 

Beliau berkata kejayaan itu adalah susulan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi (MASKOP) yang dilihat memberi kesan ketara terhadap peningkatan penubuhan koperasi baharu. 

Ewon berkata program itu dilakukan untuk memupuk pembudayaan berkoperasi dalam kalangan masyarakat di seluruh negara dan Sabah muncul sebagai negeri terbanyak mencatat pendaftaran koperasi baharu tahun ini iaitu 147 diikuti Selangor (80).

Beliau turut menyeru warga KUSKOP supaya mewujudkan satu sinergi dan kerjasama berpasukan dengan semua agensi di bawah kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan