WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Teroka Teknologi Angkasa Untuk Kemandirian Ekonomi

29/08/2024 10:08 AM

Sejak kemerdekaannya pada 1957, Malaysia melalui transformasi ekonomi yang signifikan, beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian sepenuhnya kepada ekonomi pelbagai sektor, khususnya perindustrian dan perkhidmatan.

Dasar pertanian yang diperkenalkan pada 1970-an berjaya mengurangkan kebergantungan pada sektor pertanian yang kini menyumbang hanya sekitar tujuh ke lapan peratus kepada ekonomi negara.

Namun, Malaysia terus meneroka sumber ekonomi baharu dan sejak beberapa tahun lepas, mula memberi perhatian kepada teknologi angkasa.

Bagi tujuan itu, Malaysia melancarkan Dasar Angkasa Negara 2030 pada 2017 sebagai garis panduan pembangunan sektor tersebut, disusuli penubuhan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dua tahun kemudian.

 

PALING BERISIKO, NAMUN KEUNTUNGAN  BESAR

Menjelaskan peranan MYSA kepada Bernama, Ketua Pengarahnya Azlikamil Napiah berkata agensi itu memastikan pembangunan dan pengurusan sektor angkasa negara lebih strategik, teratur dan menyeluruh.

“Kita merancang supaya teknologi angkasa boleh menjadi sumber ekonomi baharu kepada negara. Malaysia tidak mahu lagi dilihat sebagai pengguna teknologi angkasa tetapi menjadi pencipta dan penyedia perkhidmatan teknologi berkenaan,” katanya dalam temu bual bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2024, di sini baru-baru ini.

pic-2

Katanya, sektor itu diunjur menyumbang satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030, selain mewujudkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh itu.

“(Sebagai) penyedia perkhidmatan, (teknologi angkasa) akan beri keuntungan sekitar RM40 juta setahun dalam konteks data, maklumat dan sebagainya kepada negara,” tambah beliau yang turut mengakui bahawa teknologi angkasa merupakan teknologi canggih paling berisiko dan paling mahal, namun membawa keuntungan besar. 

 

PERKHIDMATAN PELANCAR ROKET 

Bercerita lanjut, Azlikamil berkata pada masa ini Malaysia sedang meneroka beberapa peluang ekonomi untuk dibangunkan, antaranya menjadi penyedia perkhidmatan pelancar roket ke angkasa.

“Malaysia terletak di kedudukan yang strategik di garisan khatulistiwa, justeru berpotensi menjadi penyedia perkhidmatan itu yang menawarkan pulangan lumayan. 

“Mungkin dalam bulan ini atau hujung tahun ini, kita boleh dapat keputusan di mana tempat yang sesuai untuk kita bangunkan (sebagai tapak pelancar roket),” katanya.

Mengambil contoh French Guiana yang mempunyai tapak pelancar roket, beliau berkata wilayah Perancis itu menyaksikan perkembangan sektor teknologi angkasa menerusi penubuhan lebih banyak syarikat tempatan yang terlibat dalam industri tersebut.

“Apabila sedia tapak, wilayah itu hasilkan 600 syarikat dan 350 start-up (pemula niaga). Ada syarikat buat fairing (reraut) contohnya yang mencambahkan peluang industri,” tambah beliau lagi. 

Seiring dengan usaha itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini telah melancarkan Garis Panduan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kemudahan Pelancar di Malaysia.

pic-3

Menterinya Chang Lih Kang dilaporkan berkata garis panduan yang telah diluluskan melalui Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan itu diwujudkan susulan permintaan tinggi daripada pemain industri tempatan dan luar negara, serta beberapa kerajaan negeri, untuk meneroka pembinaan kemudahan berkenaan.

Penyediaan garis panduan itu juga selaras dengan Teras 2 Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 yang menumpukan pada aktiviti pemerkasaan teknologi, infrastruktur dan aplikasi angkasa yang signifikan kepada negara.

 

PEMBANGUNAN PENDERIAAN JAUH KETIGA 

Berkongsi lanjut tentang perancangan negara menerusi agensi itu, Azlikamil berkata negara sedang merencana pembangunan satelit penderiaan jauh atau remote sensing ketiga yang dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya 2027. 

“Kerajaan sudah buka permintaan untuk cadangan (RPF) yang akan ditutup pada penghujung bulan ini. Kita akan kemukakan RPF daripada pihak berminat ini kepada kerajaan untuk buat keputusan,” katanya menambah, RPF dibuka kepada semua syarikat tempatan.

pic-4

Satelit penderiaan jauh ialah satelit yang mencerap dan mengumpul maklumat permukaan bumi, dan setakat ini Malaysia telah melancarkan dua satelit sedemikian, iaitu TiungSAT-1 pada 2000 dan RazakSAT pada 2009.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga merancang untuk membangunkan bandar angkasa, bertujuan merangsang ekosistem teknologi angkasa di negara ini.

“ Bandar angkasa ini merangkumi tapak pelancaran roket, pembangunan teknologi dan juga pelancongan angkasa. Kita berhasrat setiap negeri di Malaysia ini ada bandar angkasa,” katanya.

 

DI LANDASAN TEPAT 

Sementara itu, pemain industri Langit Kita Sdn Bhd (Apadilangit) berpandangan Malaysia berada di landasan tepat dalam meneroka sektor teknologi angkasa sebagai sumber ekonomi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hafez Murtza berkata ini kerana dasar angkasa terbuka dan kos pembinaan satelit yang semakin murah akan menyokong penerokaan Malaysia dalam sektor itu.

“Peluang Malaysia dalam teknologi angkasa ini sangat-sangat luas kerana faktor utama sekarang ini ialah bidang teknologi angkasa mudah diakses.

“Sekarang dasar antarabangsa membawa kepada pengkomersialan angkasa, jadi syarikat swasta boleh terlibat dalam pembangunan teknologi angkasa lepas,” jelasnya.

pic-6

Malah, katanya, Malaysia harus mengambil peluang daripada perkembangan teknologi angkasa semasa untuk turut melakukan kajian dalam bidang-bidang lain.

“Kita ingatkan angkasa lepas ini hanya untuk (teknologi) komunikasi sahaja, namun sekarang ia melangkaui batasan itu,  misalnya pertahanan, GPS (sistem penentududukan sejagat) dan lain-lain. Banyak kajian turut dilakukan di angkasa lepas, misalnya kajian perubatan bagi kanser,” katanya.

 

LATIH GENERASI CELIK ANGKASA 

Apadilangit, menurut Hafez, telah melatih lebih 180,000 orang muda tentang penerokaan sektor angkasa, sekali gus memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata pihaknya ketika ini turut bekerjasama menjayakan Kem Angkasa Kebangsaan 2024 yang bertemakan “Teknologi dan Pengembaraan Angkasa”. 

pic-5

“Kita bercakap tentang bagaimana menarik minat pelajar dan masyarakat kepada angkasa, dan seterusnya melahirkan bakat untuk bidang angkasa, sekali gus meningkatkan kefahaman dalam bidang STEM,” katanya. 

Kem Angkasa Kebangsaan 2024 yang akan diadakan di Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak bermula Oktober hingga Disember ini, merupakan program kerjasama antara MOSTI serta syarikat swasta Apadilangit dan Starlight Education dari United Kingdom.

Langkah Malaysia mempelbagaikan sumber ekonominya mencerminkan aspirasi negara untuk mencapai kemerdekaan ekonomi dan menjadi peneraju dalam teknologi canggih.

Usaha ini bukan sahaja menjanjikan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu, tetapi juga menandakan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing di peringkat global, seiring dengan semangat "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" dalam membina masa depan yang lebih cerah dan berdikari.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan