WILAYAH - UTARA > BERITA

11 Pemandu, Kelindan Lori Positif Dadah Ditahan Dalam Operasi Khas JPJ

29/08/2024 10:25 AM

JITRA, 29 Ogos (Bernama) -- Sebanyak sembilan pemandu dan dua kelindan lori ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jitra di sini antara 1 Ogos hingga semalam.

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata kesemua yang ditahan ialah warga tempatan berumur 20 hingga 50-an selepas ujian air kencing dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap mereka dalam operasi terbabit.

“Masih ada pemandu menggunaakan dadah terutama methamphetamine semasa pemanduan, hal ini membimbangkan kita, memandu dalam keadaan khayal boleh menyebabkan kemalangan.

“Kesannya juga boleh mendatangkan bahaya kepada kenderaan-kenderaan kecil lain. Alasan yang diberi ialah mahu bertahan lama semasa pemanduan jauh, AADK menahan mereka dan JPJ menggantung lesen memandu mereka,” katanya kepada pemberita semasa menyertai operasi itu di sini malam tadi.

Beliau berkata kesemua yang ditahan akan diambil tindakan lanjut di bawah Sekyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Dalam pada itu, Stien berkata sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 32,526 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu 1,388 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata sebanyak 3,777 notis dikeluarkan atas kegagalan mematuhi pelbagai peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya termasuk 19 kenderaan disita kerana tiada lesen kenderaan dan tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, sebanyak 603 saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam yang lesen kenderaan mereka tamat rempoh, tiada insurans serta pelbagai kesalahan lain,” katanya.

JPJ katanya, memandang serius kesalahan yang dilakukan terutama membabitkan kenderaan pelancongan dan perkhidmatan awam dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada pengguna jalan raya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan