WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jenazah Arman San Selamat Tiba Di Tawau

29/08/2024 08:46 PM

TAWAU, 29 Ogos (Bernama) -- Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 yang membawa jenazah Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa tiba di Lapangan Terbang Tawau di sini pada 7.06 malam ini.

Pesawat itu turut membawa isteri serta anak lelaki Allahyarham dan sembilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada KD Sri Tawau kemudian membawa keluar jenazah dengan istiadat ketenteraan.

Jasad Arman San, yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop, Johor semalam, akan dibawa ke kampung halamannya di Sapagaya, Silam, Lahad Datu terletak 126 kilometer dari sini.

Jenazah anak bongsu daripada 10 beradik itu akan disolatkan di surau berdekatan rumah keluarganya di Sapagaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan, Lahad Datu lewat malam ini.

Panglima Markas Wilayah Laut 2 TLDM Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris serta pegawai dan anggota TLDM lain turut menyambut ketibaan jenayah Allahyarham di Lapangan Terbang Tawau.

Arman San, 28, berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau daripada Markas Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM.

Pada 25 Ogos lepas, KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan