WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiga Lelaki Ditahan Kes Pukul Pekerja Kedai Serbaneka

30/08/2024 12:07 AM

KUANTAN, 29 Ogos (Bernama) — Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes pukul seorang pekerja kedai serbaneka sehingga cedera di kepala menggunakan topi keledar di Bentong, kira-kira 188 kilometer (km)  dari sini,  yang mana kejadian itu tular di aplikasi X hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kesemua lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 36 tahun itu ditahan di sekitar daerah Bentong pada jam 1.40 tengah hari tadi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan makluman orang awam. 

“Dua dari tiga suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah. Hasil siasatan awal polis, mendapati punca kejadian pada jam 12.10 tengah malam tadi itu adalah kerana perselisihan faham dan pertengkaran mulut. 

“Mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun telah membuat pemeriksaan dan menerima rawatan di Hospital Bentong dan polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa jam 1 pagi Khamis dan hasil siasatan polis juga mendapati klip video berdurasi satu minit 46 saat itu tular dalam aplikasi X selepas dimuat naik pada jam 9.57 pagi hari ini. 

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan