WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Masyarakat Antarabangsa Mesti Ambil Tindakan Tegas Halang Israel Daripada Teruskan Genosid

30/08/2024 12:30 AM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Masyarakat antarabangsa mesti mengambil tindakan tegas dan konkrit untuk menghalang rejim Zionis Israel daripada meneruskan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Wilayah Palestin, menurut Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan. 

Menurut kenyataan itu, masa untuk kutukan kosong telah berlalu.

Kementerian berkata serangan besar-besaran oleh pasukan keselamatan rejim Zionis Israel ke atas bandar Jenin, Tulkarem, Tubas dan Nablus di Tebing Barat sejak 48 jam lepas, jelas melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Operasi oleh rejim itu di Tebing Barat mengakibatkan kemusnahan dan kematian lebih 600 rakyat Palestin sejak Oktober 2023. Sehingga kini, rejim Israel masih meneruskan serangan ketenteraan di Tebing Barat, serta pembersihan etnik dan genosid di Gaza, iaitu lebih 40,000 rakyat Palestin terkorban.

“Malaysia dengan tegas mengutuk pencerobohan dan kekejaman berterusan oleh rejim Zionis Israel di seluruh Wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Sehubungan itu, Malaysia menganggap keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan terhadap kumpulan peneroka haram Israel adalah selaras dengan beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva keempat, dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2024,” menurut kenyataan itu.

Malaysia akan terus berpegang teguh dengan komitmen terhadap perjuangan Palestin dan meneruskan usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara yang berfikiran sama untuk kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan