WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pasangan Dipenjara, Denda Curi Milo Dakwa Untuk Tampung Kos Dialisis Ibu Tidak Benar - MAIM

30/08/2024 06:46 PM

MELAKA, 30 Ogos (Bernama) -- Dakwaan seorang lelaki yang dikenakan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini dua hari lepas kerana mencuri Milo bagi menampung kos dialisis ibunya seperti dilaporkan media dan tular, adalah tidak benar.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Rahmad Mariman berkata berdasarkan maklumat dan siasatan Skuad Agihan Zakat cawangan Merlimau bersama pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang ke rumah ibu lelaki itu di Kampung Berangan Enam, mendapati warga emas yang menghidap penyakit kencing manis tidak memerlukan rawatan dialisis. 

Beliau yang juga Pengerusi Zakat Melaka berkata berdasarkan rekod MAIM lelaki itu pernah hadir ke kaunter pejabat zakat dan menerima bantuan kecemasan pada 2022.

Beliau berkata jika diperlukan, ibu lelaki itu juga boleh mendapatkan bantuan dialisis berdasarkan beberapa syarat utama iaitu ibunya penerima bantuan MAIM, tidak menerima apa-apa bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam atau Pertubuhan Keselamatan Sosial dan pendapatan di bawah kadar had kifayah.

"Selain itu, wanita yang didakwa isteri kepada pesalah lelaki itu juga tidak benar kerana mereka bukan pasangan suami isteri sebaliknya wanita itu masih berstatus isteri orang dan dia didakwa telah melarikan diri dari rumah untuk mengikut lelaki tersebut.

"Siasatan lanjut mendapati suami sah kepada wanita itu merupakan penerima bantuan aktif MAIM yang menerima bantuan makanan kecemasan (sekali beri), makanan bulanan, saraan anak sekolah dan pakaian sekolah berjumlah RM940 sejak 2018 hingga sekarang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.    

Beliau berkata justeru orang awam diminta bersikap tabayyun sebelum sesuatu maklumat itu diterima dan disebarkan supaya masyarakat lain tidak keliru dengan pelaksanaan pengagihan zakat ini.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri, Mohamad Nor Azam Bakar, 34, dan Noor Azura Rosslan, 38, dipenjara 28 hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencuri 19 peket Milo 2 kilogram (kg) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh pada Julai lepas.

Semasa prosiding, peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan tindakan anak guamnya itu demi mencari wang untuk menampung kos rawatan dialisis ibu kepada Mohamad Nor Azam.

Laporan media berhubung kes itu mendapat perhatian warganet yang mempersoalkan peranan MAIM untuk membantu golongan memerlukan dan terdapat pihak yang sanggup membayar denda pasangan itu kerana simpati. 

Dalam pada itu, Rahmad berkata MAIM telah membelanjakan RM13 juta bagi 29 skim bantuan antaranya makanan bulanan, sakit kronik, sakit terlantar, orang tua terlantar, anak sekolah dan rawatan dialisis meliputi pelbagai kategori asnaf dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Julai lepas. 

Beliau berkata sepanjang Julai sahaja, penerima bantuan makanan bulanan MAIM adalah seramai 7,869 orang terdiri daripada 140 asnaf fakir dan 7,729 asnaf miskin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan