WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sorakan Penonton Tambah Gemuruh Nur Syaiful Di Final

31/08/2024 02:42 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 30 Ogos (Bernama) -- Pengalaman beraksi dengan sorakan padu penonton di Paris La Defense Arena di sini membuatkan perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli gemuruh ketika beraksi di pentas final acara  100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) hari ini.

Pada saingan Sukan Paralimpik Paris 2024, Nur Syaiful menduduki tempat keenam dengan catatan masa 1 minit 16.60 saat (s).

Di sebalik perasaan gemuruh dialaminya, perenang berusia 29 tahun itu berkata beliau tetap menikmati pengalaman baharu diraihnya berbanding aksi tanpa penonton di Pusat Akuatik Tokyo ketika penampilan sulung pada Sukan Paralimpik 2020.

“Saya puas hati dengan saringan pagi tadi dan petang ini tapi saya tak pernah rasa pengalaman beraksi di depan penonton ramai.

“Dengar tepukan penonton buat saya “double triple’  gemuruh. Saya lihat  suasana (dalam venue) sangat luar biasa, malah saringan pun ramai,” katanya kepada pemberita di zon campuran.

Catatan masa dilakar Nur Syaiful di peringkat akhir lebih baik berbanding catatan masa 1:16.82s pada saringan kedua, pagi tadi.

Perenang Ukraine Oleksandr Komarov mencipta sensasi apabila bukan sahaja merangkul emas menerusi catatan 1:07.77s malah memecahkan rekod temasya selama 12 tahun dipegang jaguh Brazil, Daniel De Faria Dias (1:08.39s) pada edisi London 2012.

Pingat perak disambar wakil China, Guo Jincheng selepas merekodkan 1:08.22s yang juga rekod baharu Asia manakala gangsa diraih Atlet Paralimpik Neutral, Kirill Pulver (1:09.41s).

Dalam pada itu, Nur Syaiful berkata beliau sudah mula menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan yang meriah di sini.

Beliau yang mengalami kecacatan di bahagian kaki sehingga lumpuh setengah badan susulan kemalangan ketika berusia 17 tahun berharap dapat mengawal perasaan gemuruhnya dalam baki lagi dua acara selepas ini iaitu 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) pada Isnin ini diikuti 50m gaya bebas lelaki S5, Khamis depan.

Semalam, atlet berasal dari Sarawak itu bermula goyah apabila terkandas di peringkat saringan selepas menduduki tempat kesembilan secara keseluruhan menerusi catatan 2:52.67s dalam saringan 200m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal), sekali gus gagal ke final.

Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dibuka secara rasmi pada Rabu akan berakhir 8 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan