WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Paris 2024: Berita Ringkas 30 Ogos

31/08/2024 03:02 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 30 Ogos (Bernama) -- Berikut berita ringkas atlet Malaysia pada hari kedua temasya Sukan Paralimpik Paris 2024, pada Jumaat (30 Ogos).

 

BERBASIKAL TREK: 

Penampilan sulung dua wakil negara iaitu Muhammad Adi Raimie Amizazahan dan gandingan Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) nampaknya kurang menjadi apabila cabaran mereka terhenti di peringkat kelayakan acara masing-masing di Velodrom Saint-Quentin-En-Yvelines, kira-kira setengah jam perjalanan dari sini.

Adi Raimie yang berlumba dalam acara 3,000 meter (m) kejar-mengejar individu lelaki C3 (kecacatan fizikal) menduduki tempat terakhir dengan merekodkan 3 minit 47.922 saat (s) dalam saingan dikuasai Jaco van Gass dari Great Britain menerusi catatan 3:15.488s sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya 3:17.593 di Tokyo 2020.

Dua pelumba teratas layak ke perlumbaan pingat emas manakala mereka yang menduduki tempat ketiga dan keempat akan menentukan pingat gangsa.

Nur Suraiya-Farina Shawati pula gagal menempatkan diri dalam kelompok enam pelumba terbaik ke final selepas menamatkan saingan di tempat kelapan dengan catatan masa 1:12.992s dalam acara 1,000m ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan). 

Elizabeth Jordan-Dannielle Khan (GBR) pula muncul pelumba terpantas pada peringkat kelayakan acara tersebut dengan 1:06.870s.

 

BOCCIA:

Pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022, Noor Askuzaimey Mat Salim meneruskan rentak cemerlangnya di sini apabila melakar kemenangan kedua berturut-turutnya dalam Kumpulan B dengan menewaskan wakil Mesir Hanaa Elfar 11-3 dalam saingan individu wanita BC4 (kecacatan fizikal).

Bagaimanapun, saingan lelaki bagi kategori sama pula menyaksikan Abdul Razzaq Abdul Rahman tumpas kepada Iulian Ciobanu dari Kanada, 6-4, sekali gus merekodkan kekalahan kedua berturut-turut selepas dibelasah 0-8 oleh Stephen McGuire dari Great Britain.

Selepas mengalami kekalahan kali kedua Kumpulan E bagi acara individu lelaki BC2 (kecacatan fizikal) di sini di tangan wakil Jepun, Hidetaka Sugimura, 6-5, pemenang perak Sukan Para Asia Hangzhou 2022, Lee Chee Hoong, bangkit melakar kemenangan sulung di sini dengan menewaskan atlet China Lan Zhijian dari China, 3-1.

 

 

TENIS KERUSI RODA:

 Abu Samah Borhan memulakan kempen ketiganya di Sukan Paralimpik dengan langkah kiri apabila tersingkir di pusingan pertama dalam acara perseorangan lelaki.

Pemain berusia 39 tahun itu gagal mengekang kehebatan pemain tuan rumah Gaetan Menguy yang layak ke pusingan kedua menerusi kemenangan 6-1, 6-2 di gelanggang ikonik, Stade Rolland-Garros.

Keputusan itu menyaksikan Abu Samah tersingkir di pusingan pertama buat kali kedua selepas penampilan sulungnya pada edisi Rio 2016. 

Dalam pada itu, penampilan sulung Muhammad Yusshazwan Yusuf di Sukan Paralimpik turut menimpa nasib sama apabila tumbang kepada wakil Korea Selatan, Im Ho Won, 2-6, 3-6.

Bagaimanapun, perjuangan Abu Samah dan Yusshazwan belum berakhir apabila mereka dijadual bersaing dalam acara beregu lelaki berdepan pilihan kelima dari Sepanyol, Daniel Caverzaschi-Martin De La Puente dalam pusingan kedua selepas menerima bye di pusingan pertama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan