WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kamera Badan Jadi 'Fear Factor,' Tingkat Integriti Dan Penguatkuasaan Anggota, Pegawai JKDM

30/08/2024 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Penggunaan kameran badan (BWC) dalam kalangan anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hampir 11 bulan lepas mampu meningkatkan integriti selain mengelakkan salah laku anggota serta pegawai di lapangan.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata sejak mula digunakan pada Oktober 2023, berdasarkan rekod, aduan melibatkan salah laku anggota dan pegawai JKDM di lapangan menurun.

“Sebelum BWC digunakan, terdapat sembilan aduan dibuat melibatkan salah laku pegawai di lapangan. Bagaimanapun sejak ia digunakan, data menunjukkan penurunan kes kepada lima aduan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

BWC adalah peranti kamera yang dipakaikan pada badan anggota semasa menjalankan tugas dan dicipta bagi tujuan merakam bukti dalam bentuk digital.

Ia juga bertujuan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk risikan dalam membendung ketirisan hasil negara dan digunakan oleh pegawai JKDM yang bertugas di barisan hadapan iaitu pintu masuk utama negara serta yang menjalankan operasi penguatkuasaan.

Anis Rizana berkata penggunaan BWC, yang dibuat selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada 2019, boleh menjadi ‘fear factor’ supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku oleh petugas serta individu yang berurusan dengan JKDM. 

“Hal ini berikutan rakaman BWC boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit,” katanya.

Beliau berkata JKDM sentiasa menyahut seruan Kerajaan MADANI untuk setiap kementerian dan jabatan mempertingkat tatakelola melalui penggunaan pendigitalan dan kecerdasan buatan.

“Justeru itu, JKDM akan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terkini dan berdiri setanding dengan peredaran digital semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan