WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JENDELA: Lebih 4,600 Stesen Pemancar Dinaik Taraf Di Sabah

15/09/2024 05:27 PM

SIPITANG, 15 Sept (Bernama) -- Sebanyak 4,629 stesen pemancar sedia ada di Sabah dinaik taraf menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memberitahu sebanyak 303,569 premis pula akan dilengkapi sambungan gentian optik melalui JENDELA.

“Perkhidmatan jalur lebar melalui satelit Broadband Wireless Access (BWA) turut dilaksanakan di 138 lokasi di negeri berkenaan,” kata kenyataan itu.

Pembuktian konsep (POC) perkhidmatan jalur lebar Starlink di pedalaman dan terpencil juga dilakukan dengan peranti telah dipasang di Papar, Keningau (dua lokasi), Tawau (dua lokasi) serta masing-masing satu lokasi di Kudat, Ranau, Tuaran dan Nabawan, menurut kenyataan itu.

“Pemasangan peranti POC Starlink ini bagi menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan satelit itu sebagai salah satu langkah untuk memenuhi pelbagai keperluan yang terangkum dalam JENDELA,” katanya.

Kenyataan itu juga menyatakan 118 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi di seluruh Sabah manakala 14 lagi NADI baharu akan dibina.

“Bagi memperkasakan komuniti selain memastikan capaian serta peluang sama rata, program yang ditawarkan di NADI kini berpaksikan lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengadakan lawatan ke Kampung Mondikot, Papar bagi meninjau perkembangan projek POC Starlink.

Beliau turut menghadiri program Hari Bersama Komuniti di NADI Mesapol di sini serta meninjau perkembangan projek menara komunikasi JENDELA di Kampung Menengah Ulu Sipitang, kata kenyataan itu.

Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan