WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK Mahkota: Isu Banjir Fokus Utama Calon BN

15/09/2024 07:49 PM

KLUANG, 15 Sept (Bernama) -- Mencari penyelesaian isu banjir di beberapa kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN)  Mahkota antara  keutamaan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.

Beliau berkata terdapat beberapa lokasi di kawasan itu masih berdepan masalah kerap berlaku banjir, walaupun terdapat masalah sama di kawasan lain telah diselesaikan oleh kerajaan negeri serta kerajaan pusat.

"Tidak dinafikan sekiranya hujan lebat berterusan, ada sesetengah tempat akan terkesan (banjir). Isu melibatkan banjir perkara penting untuk (diselesaikan) di setiap kawasan.

"Jadi sekiranya perkara ini kita perlu panjangkan, kita akan bawa ke peringkat atasan selepas ini,” katanya semasa ditemui pada Program Ziarah Kasih di DUN Mahkota di sini hari ini.

Menyentuh mengenai cadangan pembinaan benteng bagi mengatasi masalah itu seperti telah disuarakan penyandang DUN Mahkota sebelum ini Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan selepas mendapat pandangan agensi berkaitan.

“Kita akan bertanya pihak agensi berkaitan yang mempunyai kepakaran seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) bagi mendapatkan pandangan mereka,” katanya.

Masalah banjir kilat antara permasalahan yang diutarakan pengundi DUN Mahkota selain Ketua Polis Johor Datuk M.Kumar semalam juga memaklumkan pihaknya telah bersiap siaga termasuk dengan persiapan aset bot dan lori jika banjir berlaku sepanjang tempoh PRK berlangsung. 

Hari pengundian PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar ialah pada 28 Sept, manakala undi awal ditetapkan pada 24 Sept. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan