WILAYAH - SABAH > BERITA

Senyuman Sabahan, Bujang Sarawak Pukau Hadirin Pada Sambutan Hari Malaysia 2024

16/09/2024 11:09 PM

KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) -- Lagu ‘Senyuman Sabahan’ dan ‘Bujang Sarawak’ yang dipersembah bersama tarian tradisi berjaya memukau orang ramai yang hadir pada Sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan di sini malam ini.

Lenggok gemalai tarian etnik Sabah antaranya Sumazau, Sazau, Limbai dan Igal serta Ngajat dan Menyak dari Sarawak mendapat tepukan gemuruh hadirin malah ada yang turut menggerakkan badan mengikut irama lagu cukup dikenali rakyat Malaysia itu.

Tenaga pengajar Lembaga Kebudayaan Sabah Wahyudi Saiem berkata idea menggabungkan semua tarian tradisional itu adalah hasil perbincangan tenaga pengajar dan para penari yang berjaya membuahkan tarian ringkas tetapi padat dengan mesej perpaduan.

Beliau berkata persembahan itu dijayakan oleh 150 penari gabungan kerjasama Lembaga Kebudayaan Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Sabah, badan bukan kerajaan serta persatuan kebudayaan sekolah di sekitar Kota Kinabalu.

“Kita menari libatkan dua bahagian iaitu Sambut Tamu dan Keluarga MADANI. Penari kita malam ini paling muda 10 tahun sehingga ke peringkat umur atasan. Bukan mudah untuk kita lakukan koordinasi penari tetapi kita berjaya lakukan.

“Sudah tentu saya dan tenaga pengajar lain amat berbangga dengan anak didik kami. Tempoh latihan amat singkat iaitu 10 hari sahaja, kemudian kita cuba di raptai-raptai sebelum ini, amat gembira lah, cukup bertenaga kita malam ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi Norzellah Jaafar, 32, dia menyertai persembahan tarian pada Sambutan Hari Malaysia 2024 untuk berkongsi budaya serta tradisi penduduk Sabah dan Sarawak dengan rakyat di seluruh negara kerana seperti kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’.

“Saya sungguh gembira dapat sertai acara ini, penat tetapi memang tidak begitu rasa kerana kita dengan kawan-kawan sama-sama buat sampai jadi terbaik. Terima kasih kerana beri peluang ini kepada saya,” katanya wanita yang bekerja sendiri itu.

Mary Salleh, 45, pula berkata dia mendapat maklumat tentang persembahan itu daripada rakan dan menyertainya kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk memeriahkan Sambutan Hari Malaysia 2024.

“Waktu latihan amat padat kerana kita punya masa singkat iaitu 10 hari sahaja tetapi hasilnya amat kita banggakan. Seronok menari sama-sama dengan kawan juga pertonton seni budaya kita kepada semua rakyat Malaysia,” katanya yang bertugas sebagai pegawai pemasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan