WILAYAH - SARAWAK > BERITA

200 Tetamu Meriahkan Majlis Makan Malam Sempena Hari Malaysia Di Medan

18/09/2024 05:57 PM

JAKARTA, 18 Sept (Bernama) -- Seramai 200 tetamu jemputan menghadiri Majlis Makan Malam sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Medan pada Selasa.

Tetamu kehormat yang hadir termasuk pegawai-pegawai kerajaan dari Sumatera Utara, Sumatera Selatan dan Aceh, selain wakil kor diplomatik serta tokoh masyarakat di Sumatera Utara daripada sektor perniagaan, perbankan, kesihatan dan pelancongan.

Dalam ucapannya, Konsul Shahril Nizam Abdul Malek menegaskan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi menangani isu-isu berkepentingan bersama, baik di peringkat dua hala mahupun antarabangsa.

Beliau turut berkongsi kemajuan dan pencapaian Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

"Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi hab pengajian tinggi global dengan enam institusi pengajian tingginya tersenarai dalam 10 terbaik di rantau ASEAN berdasarkan QS World University Ranking 2024," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Daerah Wilayah Sumatera Utara, Arief S. Trinugroho dalam ucapan balasnya berkata hubungan erat antara kedua-dua negara adalah satu hubungan diplomatik yang bukan sahaja istimewa malah ia adalah hubungan persaudaraan yang sejati.

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam menghadapi cabaran akan datang.

Para tetamu turut disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional seperti sate, roti canai, roti jala, laksa Penang, nasi lemak ayam berempah, kuih-muih serta teh tarik.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh anak-anak diplomat, ekspatriat, serta pelajar-pelajar Malaysia yang memperagakan busana tradisional pelbagai kaum dan etnik tanah air.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan