WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Peruntuk RM22 Juta Kepada Sekolah Bantuan Cina

02/10/2024 11:23 AM

KUCHING, 2 Okt (Bernama) -- Sarawak memperuntukkan RM12 juta kepada Sekolah Rendah Bantuan Cina dan RM10 juta untuk Sekolah Menengah Bantuan Cina di negeri itu tahun ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan kepada Sekolah Rendah Bantuan Cina itu meningkat sebanyak RM3 juta berbanding RM9 juta pada tahun lepas.

“Tahun ini, peruntukan telah dinaikkan daripada RM9 juta kepada RM12 juta bagi membantu sekolah rendah bantuan Cina.

“Di samping itu, RM10 juta lagi diperuntukkan kepada sekolah menengah dan semua aspek ini diambil kira demi masa depan anak-anak kita,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Menurut kenyataan itu, Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini malam tadi.

Abang Johari berkata Sarawak juga akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membolehkan pelajar sekolah Cina melanjutkan pelajaran di universiti milik Sarawak pada 2026.

“Menjelang 2026, pelajar UEC akan layak untuk melanjutkan pelajaran di universiti negeri Sarawak dalam bidang-bidang penting seperti teknologi satelit, aeroangkasa dan pendidikan ini akan diberikan secara percuma,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan