WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEACare 2025 Bakal Berlangsung April Tahun Hadapan, Raikan Edisi Ke-25

29/10/2024 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- SEA Healthcare & Pharma Show 2025 (SEACare 2025) akan dianjurkan di ibu negara dari 23 hingga 25 April tahun depan, menandakan edisi ke-25 sebagai pameran perdagangan utama dalam bidang penjagaan kesihatan dan farmaseutikal di Asia Tenggara.

Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd (Qube) Richard Teo berkata SEACare bersignifikan sebagai satu platform untuk mempamerkan inovasi terkini dan memacu pertumbuhan industri, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau dan destinasi penjagaan kesihatan terkemuka.

Beliau berkata edisi tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada memacu kemajuan industri melalui kerjasama strategik dan penerimaan transformasi digital, yang menawarkan peluang unik kepada pihak berkepentingan untuk membina kerjasama yang bermakna, meneroka inovasi baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan penjagaan kesihatan di seluruh rantau ini.

“Kami telah mengemudi SEACare untuk menyediakan platform kepada pengeluar dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan serta farmaseutikal berhubung dengan pengedar, pengeksport, pengimport dan pembeli runcit bagi mengembangkan bahagian pasaran mereka.

“Kepada pembeli berpotensi, SEACare menawarkan mereka akses kepada produk, perkhidmatan dan inovasi terkini di pasaran. SEACare ialah platform yang tiada tandingan untuk perniagaan mengembangkan pasaran mereka,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis prapelancaran SEACare 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Edisi akan datang, bertemakan ‘Kerjasama Strategik dalam Inovasi Penjagaan Kesihatan: Menggalakkan Kolaborasi untuk Transformasi Digital’ akan berlangsung di MITEC, dan diunjurkan mencatat pertumbuhan ketara, dengan sasaran 15,000 pelawat perdagangan dan 500 reruai serta anggaran potensi jualan sekitar RM1 bilion.

SEACare 2025 disokong oleh Kementerian Kesihatan dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Teo berkata sejak Qube mengambil alih pada 2024, SEACare telah dibayangkan semula sebagai platform padanan perniagaan, membolehkan jenama penjagaan kesihatan dan farmaseutikal berhubung dengan pengedar di Malaysia dan Asia Tenggara.

Beliau turut menyatakan acara 2024 pada April lepas mencapai potensi jualan sebanyak RM685.3 juta, menarik lebih daripada 8,100 pelawat perdagangan dari 61 negara dan menampilkan lebih daripada 300 pempamer dari 15 negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan