BERITA TERKINI   Kerajaan peruntuk RM3.5 juta perluas Program KasihnITa 2026, sasar 5,000 ibu tunggal di seluruh negara - Nancy | Malaysia kekal di landasan capai sasaran negara AI menjelang 2030 meskipun ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat - Gobind | KKR bina 91 bilik darjah di 70 sekolah guna kaedah modular, IBS libat kos RM80 juta daripada KPM - Ahmad Maslan | Diskaun bil elektrik 25 peratus di Sarawak bermula bulan ini hingga Dis 2026, manfaat 714,557 pengguna domestik - Premier | Sewa di premis kerajaan dikurangkan 50 peratus bagi peniaga kecil, sederhana di Sarawak - Premier | 

Kepimpinan AIBC Mahu Tingkatkan Perdagangan, Hubungan Pelaburan ASEAN-India

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kepimpinan Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) yang baharu dilantik mengesahkan komitmennya untuk menggalakkan kerjasama sektor swasta dalam perdagangan dan pelaburan, selaras dengan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025.

Pengerusi AIBC Datuk Seri N. Gobalakrishnan dan Pengerusi Alternatif Nivas Ragavan yang baru-baru ini dilantik oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tempoh tiga tahun (2024-2027) berkata mereka akan berperanan mewakili Malaysia di peringkat serantau dan bekerjasama dengan India dan negara-negara ASEAN yang lain.

“Peranan di peringkat serantau ini memberikan peluang unik untuk mengukuhkan dan meningkatkan hubungan ekonomi antara rantau ASEAN dan India,” katanya dalam satu kenyataan bersama kepada Bernama.

Gobalakrishnan dan Nivas mewakili Malaysia pada mesyuarat Rundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-India (AEM-India) di Vientiane, Laos, awal minggu ini.

Mesyuarat itu mengalu-alukan kemajuan dalam kajian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dan menekankan keperluan untuk menambah baik peruntukan bagi memudahkan pergerakan barangan merentas sempadan, menjadikan AITIGA lebih berkesan, mesra pengguna dan memudahkan perdagangan untuk perniagaan.

AIBC, yang ditubuhkan oleh kerajaan ASEAN dan India pada 2005, bertujuan memupuk hubungan perniagaan yang lebih erat dan menyediakan perspektif industri untuk mengeratkan hubungan ekonomi antara kedua-dua rantau itu.

Malaysia dijadualkan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, mengambil alih dari Laos, yang secara rasmi akan menyerahkan jawatan pengerusi semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober.

Malaysia sebelum ini memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN, yang diasaskan pada 8 Ogos 1967, terdiri daripada 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA