BERITA TERKINI   Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka sederhana pada 4.6 peratus 2025, disokong projek infrastruktur, pelaksanaan pelaburan swasta dan penggunaan swasta yang teguh - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Ringgit dijangka diniagakan mendatar, dengan unjuran akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar AS - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | BNM akan kekalkan pendirian akomodatif dan pastikan kadar OPR kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2025 - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada suku kedua 2025 tanpa menjejaskan Kepengerusian ASEAN-Malaysia - MAHB | 

Belanjawan 2025 Akan Terus Perkukuh Industri Semikonduktor Malaysia - Persatuan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Industri semikonduktor Malaysia dijangka terus kukuh dengan pelbagai inisiatif digariskan di bawah Belanjawan 2025, termasuk Inisiatif Daya Tahan Rantaian Bekalan dan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu.

Pengarah Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Andrew Chan berkata belanjawan itu, dengan tumpuan lebih tinggi terhadap pembangunan bakat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mengukuhkan lagi peranan negara dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

“Usaha ini untuk meningkatkan daya saing negara dalam sektor semikonduktor dan langkah-langkah yang digariskan dalam belanjawan itu menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang dan daya tahan industri,” katanya kepada Bernama.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat, memperuntukkan RM421 bilion, terdiri daripada perbelanjaan mengurus sebanyak RM335 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM86 bilion.

Belanjawan itu turut memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu termasuk dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.

Kerangka itu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu, dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.

Dalam meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi elektrik dan elektronik (E&E) melalui aktiviti bernilai tambah tinggi contohnya seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.

Dalam usaha mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi. 

Mengenai pelan kerajaan untuk melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) pada awal tahun depan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Chan melihatnya sebagai langkah proaktif oleh kerajaan.

Beliau berpendapat hasil levi tersebut akan dilaburkan semula dalam industri bagi tujuan automasi dan mekanisasi, selaras dengan galakan kepada transformasi digital dan meningkatkan kecekapan. 

“Kami berharap untuk mendengar butiran lanjut mengenai MTLM,” katanya.

-- BERNAMA