BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | Belum pernah ada dalam sejarah kerajaan jatuh kerana belanja besar untuk rakyat, sebaliknya disebabkan rasuah - PM Anwar | Pemaju perumahan mampu milik mesti siapkan projek segera, ikut jadual dan mengutamakan mutu - PM Anwar | Malaysia kekal lokasi yang kompetitif terutama sebagai hab logistik panel solar dalam keadaan kenaikan tarif AS ke atas peralatan solar dari Asia Tenggara - Loke | Sebagai negara rakan BRICS, Malaysia mahu berkembang ke pasaran BRICS-ASEAN dalam jangka masa panjang - Loke | 

FBM KLCI Meningkat Selepas Lima Hari Catat Penurunan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Indeks barometer Bursa Malaysia meningkat selepas lima hari mencatatkan penurunan berikutan wujud minat baharu dengan pelabur membeli saham wajaran tinggi yang mengalami penurunan harga yang ketara baru-baru ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.4 mata kepada 1,626.70 daripada 1,618.30 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.04 mata kepada 1,622.34.

Suasana pasaran masih negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 161 berbanding 137 manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,914 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 127.61 juta unit bernilai RM71.07 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, dengan ringgit susut kepada RM4.337 berbanding dolar AS, sektor berorientasikan eksport seperti sarung tangan dan teknologi dijangka mendapat manfaat manakala peniaga mungkin akan beralih daripada saham yang tertumpu kepada pasaran domestik.

“Selain itu, sektor yang berkaitan dengan komoditi seperti perladangan, minyak dan gas serta saham berkaitan emas berpotensi mencatatkan peningkatan daripada pergerakan harga komoditi yang mendasari baru-baru ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini, sambil menambah saham pembinaan dan perkapalan yang terpilih turut dijangka menunjukkan trend positif berikutan momentum yang meningkat.

Dalam pasaran komoditi, harga minyak mentah Brent kembali meningkat hampir kepada US$76 tetapi dijangka kembali kepada tahap sebelumnya berikutan ketegangan di Timur Tengah yang mereda manakala harga emas meningkat kepada paras tertinggi dan harga minyak sawit mentah (MSM) terus kekal melebihi paras RM4,500.

Bagaimanapun, Wall Street menawarkan beberapa petunjuk dalam persekitaran prestasi bercampur-campur berikutan peniaga menilai pelbagai keputusan kewangan syarikat dan data ekonomi. 

“Pesanan barangan tahan lama di AS jatuh pada September tetapi sentimen pengguna meningkat kepada paras tertinggi sejak April; Dow dan S&P 500 merosot daripada paras tertinggi manakala Nasdaq mencatatkan peningkatan semula,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peningkatan semula diperlukan untuk melepasi paras 1,630 bagi mengelak konsolidasi yang berpanjangan di bursa tempatan.

“Kami menjangka indeks mendatar kemungkinan berada antara 1,620 dan 1,630 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, hanya Tenaga Nasional rendah, merosot enam sen kepada RM14.32.

Public Bank dan CIMB, masing-masing naik tujuh sen kepada RM4.48 dan RM8.19. YTL dan Maxis, masing-masing meningkat lima sen kepada RM3.05 dan RM3.72 serta IHH menambah empat sen kepada RM7.54.

Sorento Capital yang baru disenaraikan mendahului kaunter aktif, naik 1.5 sen kepada 38.5 sen manakala Ingenieur Gudang, Alpha IVF, Yew Lee Pacific dan Handal Energy, masing-masing tidak berubah pada 5.0 sen, 35.5 sen, 56 sen dan 7.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 50.88 mata kepada 12,271.50, Indeks FBM 70 meningkat 48.20 mata kepada 17,762.87, Indeks FBMT 100 menambah 53.41 mata kepada 11,975.35, Indeks FBM Emas Shariah menokok 37.27 mata kepada 12,237.25, bagaimanapun Indeks FBM ACE merosot 5.58 mata kepada 5,095.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 96.97 mata kepada 19,359.00, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.40 mata kepada 176.12, Indeks Perladangan menambah 9.65 mata kepada 7,309.23 manakala Indeks Tenaga susut 3.94 mata kepada 842.59.

-- BERNAMA