BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | PM Anwar suarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan pemimpin politik mengenai makna sebenar keadilan dan kemanusiaan | 

Malaysia-EU Halusi Langkah Mulakan Rundingan Rasmi FTA- Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menghalusi langkah seterusnya untuk memulakan semula rundingan rasmi bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia komited untuk meneruskan rundingan FTA bersama EU.

“Walaupun masih ada aspek yang perlu diperincikan sebelum rundingan boleh dimulakan, saya yakin kedua-dua pihak akan berusaha menjadikannya kenyataan kerana FTA ini akan membawa pelbagai manfaat kepada ekonomi Malaysia dan EU,” katanya menerusi catatan di laman X hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan perbincangan secara maya bersama Naib Presiden Eksekutif EU Valdis Dombrovskis bagi membincangkan mengenai FTA kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pertemuan dua hala dengan Presiden Majlis Eropah Charles Michel di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Laos baru-baru ini, telah menyatakan hasrat kepada EU untuk meneruskan perbincangan mengenai FTA Malaysia-EU.

Anwar turut menyatakan beberapa pandangan berhubung Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR) yang memberi kesan langsung terhadap industri sawit di Malaysia.

-- BERNAMA