BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Kerajaan Tiada Hasrat Benarkan Kenderaan Asing Nikmati Subsidi RON95

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak berhasrat membenarkan kenderaan milik bukan warganegara untuk menikmati kemudahan subsidi bahan api RON95, kata Kementerian Ekonomi.

Tindakan itu, kata kementerian, adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Pelaksanaan (penyasaran) subsidi RON95 pada 2025 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM3.6 bilion kepada perbelanjaan kerajaan atau pengurangan sebanyak 21.9 peratus kepada keseluruhan perbelanjaan subsidi jika hanya diberikan kepada golongan B85 dan warganegara Malaysia.

“Langkah memastikan penyasaran subsidi RON95 tidak melibatkan bukan warganegara pula akan memberi manfaat penjimatan sebanyak RM0.3 bilion (2.0 peratus) kepada kerajaan,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai perancangan kementerian berkenaan untuk membenarkan kenderaan Brunei Darussalam menggunakan RON95 di Malaysia.

Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan 2025 yang meliputi 85 peratus rakyat dan ditentukan berdasarkan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) isi rumah. 

-- BERNAMA