BERITA TERKINI   SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | 

Takaful Ikhlas Diiktiraf Pasukan Terbaik Tahun Ini Pada Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Malaysia 2024

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd (MNRB) dipilih sebagai Pasukan Terbaik Tahun Ini (insurans am dan takaful) pada Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Malaysia 2024.

Takaful Ikhlas dalam kenyataan hari ini menjelaskan pengiktirafan itu menandakan sumbangan luar biasa pihaknya bagi merevolusikan industri takaful menerusi inovasi dan pengalaman lebih baik untuk pelanggan.

Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Datuk Rudy Rodzila Che Lamin yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas berkata pihaknya gembira menerima pengiktirafan itu, yang membuktikan usaha berterusan pasukan Takaful Ikhlas untuk membentuk semula landskap takaful.

“Pengiktirafan ini mendorong kami untuk terus mempertingkat perkhidmatan dan tawaran bagi memenuhi keperluan mereka yang memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.

Menurut Takaful Ikhlas antara inovasi utama adalah mewujudkan cawangan bukan fizikal, “Virtual Ikhlas Points”, yang ditambah daripada lima kepada 10 cawangan maya bagi tahun kewangan 2024.

“Selain itu, ekosistem tuntutan motor digital bagi memudahkan proses tuntutan menerusi e-penyerahan, pemeriksaan melalui video secara langsung, kemas kini masa nyata dan e-pembayaran.

“Takaful Ikhlas turut memperkenalkan proses interaktif secara maya bagi tuntutan berkaitan banjir untuk memastikan penyelesaian penuh dalam tempoh tiga hari.

“Kesemua initiatif ini mengukuhkan kedudukan Takaful Ikhlas sebagai peneraju dalam industri,” tambah syarikat itu.

Syarikat itu turut mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan inovasi dengan memperkenalkan “Go by Takaful Ikhlas” pada 2021.

Ekosistem digital telah memberi takrifan semula kepada pengalaman pelanggan, ejen dan rakan kongsi dengan menyepadukan beberapa komponen utama bagi memenuhi pelbagai keperluan pihak berkepentingan, menurut Takaful Ikhlas.

“Ini termasuk ‘GO Direct’, platform dalam talian yang membolehkan pelanggan memilih dan melanggan produk takaful dengan mudah.

“‘GO Serve’ pula sebuah  portal pelanggan layan diri yang memudahkan pelanggan menguruskan sijil, mengemukakan tuntutan dan mengakses bantuan pada bila-bila masa, di mana-mana  sahaja,” jelasnya.

Takaful Ikhlas menjelaskan bagi ejen, “GO Partner” berperanan sebagai portal pelbagai sumber untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan.

“‘GO Financial’ pula menyokong rakan kongsi bancatakaful menerusi platform layan diri yang menyelaras proses jualan dan sokongan, serta ‘GO Connect’ iaitu platform antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) bagi memudahkan integrasi rakan kongsi,” tambahnya.

-- BERNAMA