Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Jangkaan Permintaan Eksport Lemah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives membalikkan kenaikan semalam untuk ditutup lebih rendah hari ini susulan jangkaan permintaan eksport yang lemah.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata hal ini berlaku sewaktu kebimbangan eksport yang lebih perlahan mengatasi prospek pengeluaran yang lebih rendah berikutan situasi banjir yang melanda di negara ini baru-baru ini.
Dalam pada itu, memetik syarikat pemeriksa bebas, AmSpec Agri Malaysia berkata eksport minyak sawit Malaysia untuk 1 hingga 30 Nov, 2024 susut 10.35 peratus bulan ke bulan disebabkan permintaan minyak sawit yang lebih rendah secara bermusim.
“Selain itu, harga minyak kacang soya yang lebih rendah pada waktu Asia, turut mempengaruhi sentimen pasaran. Kami melihat paras sokongan untuk harga MSM pada RM4,950 satu tan dan paras rintangan pada RM5,130 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Disember 2024 turun RM56 kepada RM5,287 satu tan, Januari 2025 merosot RM36 kepada RM5,176 satu tan dan Februari 2025 berkurang RM43 kepada RM5,032 satu tan.
Kontrak Mac 2025 menyusut RM47 kepada RM4,880 satu tan, April 2025 menguncup RM40 kepada RM4,730 satu tan dan Mei 2025 berkurang RM27 kepada RM4,595 satu tan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 119,811 lot daripada 80,392 lot semalam manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 236,748 kontrak daripada 231,466 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan turun RM30 kepada RM5,350 satu tan.
-- BERNAMA