BERITA TERKINI   12 MAUT, DUA PARAH DALAM KEMALANGAN BAS-TRAILER DI GHANA | Malaysia, Pakistan komited perkukuh hubungan dua hala, keamanan serta kemakmuran sejagat - PM Anwar | Malaysia, Pakistan bincang langkah tegas hentikan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza, Lubnan- PM Anwar | Malaysia hargai peranan pengantaraan Pakistan dalam rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat - PM Anwar | PM Anwar ucap Selamat Hari Raya Aidiladha kepada PM Pakistan Shehbaz Sharif, harap persaudaraan terus kukuh | 

MRCB Keluarkan Notis Penamatan Perjanjian Kerjasama Dengan Berjaya Bagi Projek KL-SG HSR

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mengumumkan telah mengeluarkan notis penamatan kepada Berjaya Rail Sdn Bhd bagi menamatkan perjanjian kerjasama mereka berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR).

MRCB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perjanjian itu yang ditandatangani pada 15 Dis, 2023, bertujuan untuk mengemukakan cadangan konseptual yang tidak mengikat kepada MyHSR Corporation Sdn Bhd bagi projek tersebut.

Syarikat itu berkata, mengikut Klausa 12.1.2 perjanjian berpasukan, penamatan akan berkuat kuasa selepas 30 hari notis penamatan dikeluarkan.

Semalam, konsortium diterajui Berjaya Corporation Bhd, yang mengambil bahagian dalam pelaksanaan permintaan maklumat (RFI) MyHSR Corporation Sdn Bhd bagi projek KL-SG HSR, mengumumkan bahawa salah satu rakan kongsinya telah memutuskan untuk menarik diri.

Berjaya berkata MRCB telah menarik diri dan akan mencari peluang strategik lain, sekali gus tidak lagi menjadi sebahagian daripada konsortium KL-SG HSR.

“Konsortium itu, yang termasuk Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corporation Bhd, dan rakan kongsi teknikalnya seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail, dan Hyundai Rotem, akan diperkukuh lagi untuk sejajar dengan keperluan projek yang semakin berkembang,” katanya. 

-- BERNAMA