BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Terus Ditutup Rendah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis apabila kelewatan pelaksanaan program biodiesel B40 Indonesia telah mencetuskan ketidakpastian dalam pasaran, kata seorang peniaga.

Program biofuel Indonesia ialah inisiatif yang memerlukan pengadunan tinggi biodiesel berasaskan minyak sawit dengan bahan api diesel yang dirancang dimulakan pada 1 Jan. 

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kemajuan perlahan program biofuel Indonesia boleh menjejaskan permintaan terhadap MSM yang seterusnya memberi tekanan kepada harganya

“Kadar eksport  lemah yang dilihat setakat ini, terutamanya disebabkan penurunan bermusim, juga menjejaskan sentimen pasaran.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,300 dan paras rintangan pada RM4,480," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, rancangan Indonesia untuk mengembangkan mandat biodieselnya kelihatannta akan dilaksanakan secara beransur-ansur.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2025 turun RM171 kepada RM4,690 setan metrik, Februari 2025 susut RM133 kepada RM4,484 dan Mac 2025 jatuh RM115 kepada RM4,333.

Kontrak April 2025 berkurangan RM93 kepada RM4,212 setiap tan metrik, Mei 2025 turun RM73 kepada RM4,132 dan Jun 2025 susut RM55 kepada RM4,085.

Jumlah dagangan meningkat kepada 74,951 lot daripada 72,477 lot pada hari Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 234,076 kontrak daripada 239,495 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan turun RM150 kepada RM4,800 setiap tan metrik.

-- BERNAMA