Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Jangkaan Pengeluaran Lebih Lemah

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa susulan jangkaan pengeluaran yang lebih lemah dalam beberapa minggu akan datang, kata peniaga minyak sawit David Ng.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,250 dan paras rintangan pada RM4,450 setiap tan," kata Ng kepada Bernama.

Dalam pada itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM sangat tidak menentu minggu ini berikutan prestasi minyak mentah yang bercampur-campur dan ringgit yang lebih kukuh.

Pada 6 petang, ringgit naik semula kepada 4.4850/4900 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) 4.5090/5135 ketika ditutup pada Isnin.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2025 dan Februari 2025 meningkat RM23, masing-masing kepada RM4,713 dan RM4,506 setiap tan.

Kontrak Mac 2025 bertambah RM27 kepada RM4,365 setiap tan, April 2025 berkembang RM34 kepada RM4,267 setiap tan, Mei 2025 menokok RM38 kepada RM4,197 setiap tan dan Jun 2025 melonjak RM44 kepada RM4,155 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 97,738 lot daripada 84,275 lot semalam manakala kepentingan terbuka susut kepada 231,390 kontrak daripada 233,493 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan bertambah sebanyak RM20 kepada RM4,750 setiap tan.

-- BERNAMA