BERITA TERKINI   ASEAN secara relatif kekal rantau paling aman, kestabilan pulih di Thailand dan Indonesia, serta keyakinan pelabur terus kukuh - PM Anwar | Malaysia zahir kesediaan hubungi pemimpin Islam OIC berhubung serangan Israel ke atas Qatar - PM Anwar | Kerajaan akan beri keutamaan kepada usaha lahir bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi terkini menerusi Belanjawan 2026 - PM Anwar | Proses pendaftaran simkad prabayar akan guna pakai MyDIGITAL ID, dikuat kuasa menjelang akhir tahun ini - Fahmi | Kerajaan setuju secara prinsip pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya - Fahmi | 

TNB Western Energy Failkan Semakan Kehakiman Bagi Cabar Taksiran Cukai RM291.55 Juta

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- TNB Western Energy Bhd (TNB WE), anak syarikat milik penuh tidak langsung Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui TNB Manjung Five Sdn Bhd, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaysia untuk mencabar taksiran cukai sebanyak RM291.55 juta bagi tahun taksiran 2018.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata notis taksiran daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia bertarikh 10 Dis 2024.

“Pada 31 Dis 2024, TNB WE memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar aspek tertentu dalam notis itu,” katanya.

Menurut TNB, semalam, Mahkamah Tinggi memberikan penangguhan sementara terhadap semua prosiding seterusnya, termasuk penguatkuasaan notis itu, sehingga permohonan kebenaran semakan kehakiman selesai sepenuhnya.

Katanya Mahkamah Tinggi telah menjadualkan pendengaran permohonan kebenaran pada 14 April 2025. 

“TNB akan memberikan maklumat terkini mengenai sebarang perkembangan penting berkaitan perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA