BERITA TERKINI   Semua aset bantuan bencana telah dikoordinasi di lokasi terjejas banjir di seluruh Sarawak - TPM Zahid | Sekolah tahfiz yang belum berdaftar diseru berbuat demikian dengan kerajaan negeri elak tercicir bantuan - TPM Ahmad Zahid | 

Key Alliance Lantik Farhash Wafa Salvador Sebagai Pengerusi

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Key Alliance Group Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Farhash Wafa Salvador sebagai pengerusi baharunya.

Syarikat teknologi, komunikasi dan maklumat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Farhash Wafa membawa pengalaman lebih daripada satu dekad dalam bidang perniagaan, perundingan serta nasihat merangkumi sektor pembinaan, teknologi, hotel, makanan dan minuman.

"Sebagai bukti kepada bakat dan sumbangan berharga Farhash Wafa kepada industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau pernah dinobatkan sebagai Usahawan Muda Terbaik 2020 oleh Anugerah Kepimpinan Perniagaan Global serta Usahawan Berdaya Usaha Terbaik 2019 dan Technopreneur Terbaik 2018 oleh Anugerah Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan (SEBA)," kata Key Alliance.

Beliau juga dianugerahkan sebagai Usahawan Nasional Bumiputera Cemerlang Malaysia dalam Perniagaan pada 2018, Usahawan Muda Paling Berpengaruh ke-100 pada 2017 dan Anugerah Skim Permulaan Usahawan Bumiputera oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pada 2016.

Farhash Wafa memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom; Ijazah Sarjana Sains dalam Kewangan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom dan Sijil Eksekutif dalam Kepimpinan Awam dari Harvard Kennedy School, Universiti Harvard.

Beliau pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.

Farhash Wafa juga pernah menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Bluemont Group Limited (sekarang dikenali sebagai Southern Archipelago Limited) dari 2014 hingga 2016, sebuah syarikat tersenarai awam di papan utama Bursa Singapura.

Beliau memegang jawatan sebagai pengarah dalam syarikat awam dan penerbit tersenarai iaitu Apex Equity Holdings Bhd; Excel Force MSC Bhd; 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd; Berjaya Construction Bhd (tidak tersenarai) dan Bukit Kiara Resort Bhd (tidak tersenarai).

Farhash Wafa yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua PKR Perak, kini menjadi Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan.

-- BERNAMA