BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

SMR 20 Ditutup Tinggi Susulan Aliran Meningkat Niaga Hadapan Getah Serantau

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) ditutup tinggi hari ini disokong oleh aliran meningkat pasaran niaga hadapan serantau apabila para peniaga memberikan reaksi positif terhadap penangguhan pelaksanaan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga. 

Beliau berkata sentimen pasaran juga dirangsang oleh jangkaan kekurangan bekalan getah asli  berikutan musim luar puncak.

"Pasaran juga didorong oleh pengumuman langkah-langkah rangsangan oleh kerajaan China untuk meningkatkan prestasi ekonomi, ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun melantun semula pada Jumaat tetapi masih ditutup rendah mengakhiri minggu ini apabila para peniaga mengambil kira prospek bekalan rendah daripada pengeluar Asia berbanding kebimbangan tarif global.

Sementara itu, harga minyak meningkat disebabkan peningkatan permintaan terhadap bahan api dan jangkaan bahawa cadangan tarif timbal balik global AS tidak akan dilaksanakan sehingga April, yang mana memberikan lebih banyak masa untuk mengelakkan perang perdagangan.

"The People’s Bank of China mengumumkan hasratnya untuk melaraskan dasar monetari pada masa yang sesuai bagi menyokong ekonomi, yang kini berdepan cabaran luaran yang semakin meningkat," kata peniaga itu.

Jumlah bekalan getah asli di China berkurangan dengan ketara apabila pengeluaran di negara pengeluar memasuki musim bukan kemuncak, katanya. 

Lembaga Getah Malaysia melaporkan pada 3 petang, SMR 20 melonjak 9.5 sen kepada 921 sen sekilogram (kg), manakala susu getah pukal turun tiga sen kepada 687 sen sekilogram.

-- BERNAMA