BERITA TERKINI   Madani Digital Trade boleh menjadi pencetus perubahan membantu PKS raih manfaat daripada teknologi seperti data raya dan analitik, pengkomputeran awan dan AI -- Tengku Zafrul | Madani Digital Trade ialah inisiatif transformatif yang bakal membentuk semula landskap perdagangan Malaysia -- Tengku Zafrul | Seramai 75,196 ahli KWSP terima insentif kerajaan berjumlah RM11.4 juta di bawah skim program i-Suri pada 2024 - Amir Hamzah | Jumlah keseluruhan caruman i-Saraan KWSP diterima adalah RM2.6 bilion pada 2024 - Amir Hamzah | Intel Corporation lantik anak kelahiran Malaysia, Lip-Bu Tan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 18 Mac depan | 

KPJ Healthcare Catat Keuntungan Bersih Tinggi RM353.81 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM353.81 juta pada 2024 berbanding RM263.40 juta pada 2023,  dipacu oleh keberkesanan strategi pengoptimuman kos dan kecekapan operasi serta pelaburan mengutamakan pesakit.

Selain itu, terdapat juga keuntungan bersih daripada pelupusan perniagaan penjagaan warga emas di Australia, yang direkodkan di bawah operasi yang dihentikan.

Hasil mencecah RM3.92 bilion, berbanding RM3.42 bilion pada tahun sebelumnya, kata syarikat itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Kumpulan itu melabur sebanyak RM406 juta dalam perbelanjaan modal pada 2024, peningkatan 66 peratus daripada RM244 juta pada 2023.

Kadar penghunian katil pada 2024 ialah sebanyak 69 peratus berbanding 67 peratus pada 2023 manakala pesakit masuk wad berjumlah 388,101 berbanding 361,987 pada tahun sebelumnya. Lawatan pesakit luar tahun lepas berjumlah 3.00 juta berbanding 2.95 juta pada 2023.

“Pelaburan strategik ini menyokong pembangunan infrastruktur, transformasi digital dan penambahbaikan perkhidmatan di seluruh rangkaian KPJ, mengukuhkan daya tahan jangka panjang dan memajukan penyampaian penjagaan kesihatan,” kata syarikat itu.

Bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Dis, 2024, keuntungan bersih syarikat melonjak kepada RM120.51 juta berbanding RM73.39 juta yang dicatatkan bagi suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1.05 bilion daripada RM911.45 juta sebelumnya.

Melangkah ke hadapan, KPJ kekal fokus terhadap pertumbuhan mampan dengan memanfaatkan teknologi, kerjasama strategik serta inovasi yang berpaksikan pesakit untuk meningkatkan pengalaman pesakit, memperluaskan pelancongan kesihatan dan mencipta nilai yang lebih besar kepada pemegang saham, kata Presiden dan Pengarah Urusannya Chin Keat Chyuan.

"Pengurusan kos kakitangan yang merupakan cabaran lazim dalam industri ini, kekal menjadi keutamaan kami pada 2025. Pada masa yang sama, kami akan melipatgandakan usaha kami dalam pengoptimuman kos dan kecekapan operasi.

"Kolaborasi kami bersama pemegang kepentingan utama, termasuk kerajaan dan rakan industri akan turut menjana nilai strategik. Tahun ini, kami memacu visi yang mendahulukan digital, dengan kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam menambah baik pengalaman pesakit dan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata walaupun masih di peringkat awal, transformasi ini merupakan satu keperluan ketika syarikat terus mendepani arus perubahan, kelestarian, inovasi dan kecemerlangan.

Ia akan kekal sebagai teras utama dalam memperkukuh komitmen syarikat untuk menawarkan yang terbaik kepada pesakit sambil membentuk masa depan industri penjagaan kesihatan, katanya.

-- BERNAMA