BERITA TERKINI   Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | 

British Airways, Malaysia Airlines Perluas Perkongsian Kod, Teruskan Semula Laluan Heathrow-KLIA

SEPANG, 2 April (Bernama) -- British Airways bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk memperluaskan perjanjian perkongsian kod mereka dengan menawarkan kepada pengembara lebih banyak pilihan perjalanan ke Eropah.

Pengurus Besar Serantau British Airways untuk Timur Tengah, Afrika, dan Asia, Helen O'Connor berkata rangkaian yang diperluaskan itu akan memberikan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada pelanggan untuk meneroka destinasi percutian baharu.

"Ini adalah masa yang mengujakan bagi kami di British Airways," katanya ketika berucap sempena ketibaan penerbangan pertama syarikat penerbangan kebangsaan United Kingdom ke Malaysia selepas berehat selama lima tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Penerbangan British Airways BA33 tiba di KLIA pada pukul 5.20 petang, menandakan penyambungan semula perkhidmatan harian antara Lapangan Terbang Heathrow London dan KLIA.

Mengulas mengenai perkembangan berkenaan, O'Connor berkata laluan itu akan menggunakan pesawat Boeing 787-9 milik syarikat penerbangan itu, dengan konfigurasi kabin penuh.

"Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan United Kingdom, kami berbangga untuk beroperasi ke lebih 200 destinasi di lebih 70 negara.

"Kembalinya kami ke Kuala Lumpur juga melambangkan kepentingan untuk menyambung semula hubungan antara orang, budaya, dan perniagaan antara dua benua," katanya.

O'Connor juga menekankan beberapa bidang utama dalam pelaburan bernilai GBP7 bilion oleh syarikat penerbangan itu untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaannya.

Beliau berkata antaranya British Airways telah melabur dalam menaik taraf sistem teknologi maklumatnya untuk menawarkan penumpang laman web dan aplikasi mudah alih serba baharu, yang akan dilancarkan tahun ini.

"Beberapa contoh lain termasuk pelancaran tempat duduk penerbangan jarak dekat dan bahagian dalaman kabin untuk sembilan pesawat berbadan sempit kami, serta melancarkan 'First Cabin' yang dijadualkan bakal terbang pada 2026.

"Kami telah melabur lebih 100 juta pound dalam transformasi digital untuk meningkatkan daya tahan dan kecekapan operasi kami," tambahnya.

-- BERNAMA