BERITA TERKINI   Kerajaan sedang mengkaji semula pelaksanaan cukai karbon Malaysia disebabkan situasi geopolitik semasa - NRES | PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | 

Putra Heights : Petronas Gas Kukuh Komitmen Keselamatan Dan Kebolehpercayaan

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) menegaskan bahawa ia sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ketat selaras dengan piawaian antarabangsa dalam semua peringkat operasinya.

Syarikat itu melalui satu kenyataan hari ini melahirkan komitmen terhadap keselamatan komuniti, alam sekitar dan kebolehpercayaan perkhidmatannya. 

"Pasukan PGB telah mengaktifkan sistem keselamatan kawalan jauh saluran paip untuk mengawal kebakaran dan akhirnya memadamkannya semasa kejadian di Putra Heights," katanya.

"Semua langkah-langkah yang diperlukan telah diambil untuk memastikan kawasan kejadian selamat," katanya.

Ia secara proaktif telah melaksanakan langkah-langkah kontingensi untuk meminimumkan gangguan dalam bekalan gas.

PGB berkata ia membuat penyelarasan dengan agensi kerajaan serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memulihkan dan mengekalkan bekalan secepat mungkin dengan cara yang selamat kerana ia komited untuk memastikan akses tenaga yang tidak terganggu.

Saluran paip gas yang terjejas di Putra Heights adalah saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), yang direka dan dibina mengikut piawaian antarabangsa dengan penekanan yang kukuh terhadap keselamatan awam. 

Untuk beroperasi, sistem saluran paip PGB menjalani kawalan dan jaminan kualiti yang teguh serta ketat dan mendapat kelulusan Permit untuk Mengendalikan (PTO) dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, menurut kenyataan itu. 

PTO memastikan reka bentuk dan operasi yang selamat.

"Di samping itu, program pengurusan integriti aset kami turut memastikan operasi perjalanan serta keselamatan berterusan aset syarikat, yang disokong oleh lapan pejabat serantau di seluruh Semenanjung Malaysia untuk melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan penyelenggaraan yang komprehensif.

"Ini merangkumi, antara lain, program pemeriksaan saluran paip berkala menggunakan teknologi pemeriksaan saluran paip," katanya.

Secara luaran, PGB berkata ia telah memasang Sistem Perlindungan Katodik yang disokong oleh pemantauan pergerakan tanah dan cerun. 

Program-program ini dijalankan oleh petugas yang berwibawa dan berkelayakan PGB.

Selanjutnya, operasi saluran paip PGB dipantau serta dikawal 24/7 dengan teknologi canggih seperti Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA), Sistem Pengesanan Kebocoran Saluran Paip, kamera litar (CCTV) dan Sistem Akustik Teragih di Pusat Kawalan Gas Petronas (PGCC). 

"PGB kerap menjalankan pengawasan tanah dan udara melalui dron oleh pengendali yang berkelayakan bagi membolehkan tindak balas yang cepat terhadap sebarang kelainan.

"Jika terjadi sebarang keabnormalan, kami dapat menentukan lokasi yang tepat melalui SCADA dan Sistem Maklumat Geografi Masa Nyata Petronas, yang membolehkan kami memberi amaran kepada pasukan tindakan cepat terdekat dari pejabat serantau masing-masing," kata PGB. 

 

-- BERNAMA