BERITA TERKINI   Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | Gempa bumi lemah 3.2 magnitud di Segamat pagi ini susulan kejadian gempa di daerah sama 24 Ogos lalu - KP MetMalaysia | 

Malaysia Bincang Inisiatif Baharu Dengan EU-ABC, AS-ABC Bagi Tingkat Perdagangan Dan Pelaburan 

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin dan Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pertemuan Malaysia dengan perwakilan daripada Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah - ASEAN (EU-ABC) dan Amerika Syarikat (AS-ABC) pada Selasa bertujuan membincangkan inisiatif-inisiatif baharu yang boleh meningkatkan perdagangan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara-negara anggota.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pertemuan itu juga turut mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh para pelabur, sekali gus memikirkan kaedah yang sesuai untuk membantu mereka mengatasi permasalahan berkenaan.

“Ini dapat membantu kerajaan untuk mengambil tindakan (sewajarnya) bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka di sini. Perbincangan yang kita adakan tadi amat baik dan idea-idea baru yang diutarakan (boleh membantu) untuk meningkatkan lagi perdagangan intra-ASEAN,” katanya ketika ditemui Bernama selepas berlangsungnya pertemuan dua hala secara berasingan itu.

Pada masa yang sama, Amir Hamzah berkata Malaysia juga mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan daripada AS-ABC dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada tarif yang dikenakan Washington.

Beliau turut berharap untuk mendapatkan persetujuan dan kesepakatan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN ketika menjelangnya tiga mesyuarat penting bersama AS-ABC, EU-ABC dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) hari ini.

"Kita berharap akan mendapat persetujuan dan kesepakatan untuk kita berinteraksi dan meningkatkan perdagangan yang ada antara industri-industri sendiri dan dengan negara yang lain.

"Idea-idea seperti perdagangan intra-ASEAN merupakan langkah yang bernas untuk negara anggota membina sebuah operasi pasaran rentas sempadan (cross-border market operation). Oleh itu, saya berharap hasil yang positif dan persetujuan bersama daripada semua pihak.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Amir Hamzah itu memberi penekanan kepada isu-isu kewangan yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tarikan Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.

Ia juga penting bagi mengatur langkah efektif dalam menangani kesan negatif daripada pengumuman tarif baharu AS baru-baru ini, terutamanya terhadap pertumbuhan ekonomi serantau.

-- BERNAMA