BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah 3.2 magnitud dikesan di Segamat, Johor pada 8.59 pagi ini — MetMalaysia | Kerajaan komited teruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi tambah baik kutipan hasil, semakan semula perbelanjaan awam - Amir Hamzah | Kerajaan akan membangunkan garis panduan dan platform dagangan kredit karbon biru dengan kerjasama Sekretariat Sabah Maju Jaya dan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah - Amir Hamzah | 

Sorrellicious Legacy Sasar Eksport Roselle Kering Ke Pasaran Asia Tenggara Tahun Ini

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR,10 April (Bernama) -- Pengeluar produk berasaskan roselle segar, Sorellicious Legacy, beroperasi di Klang, Selangor menyasarkan untuk mengeksport roselle kering ke pasaran Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini.

Pemiliknya, Siti Suraya Shariff, 42, berkata langkah itu diambil susulan permintaan yang semakin meningkat dari negara jiran, antaranya Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Semasa menyertai program padanan perniagaan, saya mendapati terdapat minat tinggi daripada pihak luar khususnya Singapura yang berminat untuk memasarkan produk berasaskan roselle.

"Permintaan sebegini membuka peluang besar untuk kami menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui Bernama di Pameran Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN KL 2025, hari ini.

Siti Suraya berkata pihaknya merancang untuk mengeksport roselle kering dalam bentuk halwa dan uncang ke negara-negara tersebut.

Bagi pasaran tempatan pula, beliau berhasrat memperluaskan lagi penempatan produk Sorellicious ke pasar raya di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Kami berhasrat untuk terus berkembang, Insya-Allah. Buat masa ini, produk kami hanya terdapat di 18 cawangan AEON Mall di Lembah Klang, Melaka, Johor dan Perak, walaupun permintaan sebenar melebihi capaian semasa. Justeru, kami sedang berusaha untuk memenuhi permintaan itu,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan pendapatan syarikat disasarkan sebanyak RM35,000 sebulan, Siti Suraya turut merancang untuk mempelbagaikan segmen pasaran.

“Kami tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada jualan runcit. Kami menyasarkan pelanggan dari sektor perniagaan seperti restoran, kilang makanan dan membuka lebih banyak peluang eksport pada masa depan,” tambahnya.

Sorellicious Legacy menawarkan pelbagai produk berasaskan roselle termasuk jus minuman, kordial, pati, halwa serta uncang roselle yang dijual pada harga antara RM4.00 hingga RM20.00 manakala roselle mentah ditawarkan pada harga antara RM3.80 hingga RM6.00 sekilogram.

-- BERNAMA