BERITA TERKINI   APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | Kerajaan kekalkan subsidi bersasar RON95 dan diesel sebagai penampan bagi lindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga - Amir Hamzah | 

Mustakim Mohamad Dilantik Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif TH

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad dilantik Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang baharu menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Pelantikan Mustakim yang berkuat kuasa 6 Mei 2025 diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar hari ini.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataan memaklumkan Mustakim mempunyai Ijazah Sarjana dari Universiti RMIT di Australia dalam jurusan kewangan serta diiktiraf sebagai ahli Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Beliau telah berkhidmat hampir 20 tahun di TH merangkumi pelbagai bidang termasuk kewangan, pelaburan, perkhidmatan deposit dan operasi, serta teknologi maklumat dan keselamatan.

“Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada Syed Hamadah yang akan tamat kontraknya pada 5 Mei 2025 setelah berkhidmat selama dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pelantikan Mustakim selari dengan falsafah TH untuk terus menerajui kecemerlangan dari setiap sudut demi manfaat para pendeposit termasuk mengurus cabaran beroperasi dalam keadaan pasaran global tidak menentu serta peningkatan kos perkhidmatan pihak ketiga seperti kos penerbangan, penginapan dan perubatan.

Menurut kenyataan itu pertimbangan dalam melantik tampuk kepimpinan yang berwibawa cukup penting memandangkan ciri-ciri TH yang berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mengendalikan amanah yang besar.

“Pelantikan Mustakim adalah berasaskan pengalaman dan keupayaannya dalam merealisasikan wawasan TH ke peringkat seterusnya," menurut kenyataan itu.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan kepimpinan baharu akan mengutamakan pendekatan proaktif dan inovatif untuk memastikan TH menjadi institusi Islam yang mampan dalam jangka panjang.

Sementara itu, TH dalam kenyataan memaklumkan peralihan kepimpinan mencerminkan kekuatan institusi itu dalam melahirkan bakat dalaman.

“Mustakim telah berkhidmat hampir dua dekad di TH dan diyakini mampu memikul tanggungjawab ini selari dengan usaha berterusan TH untuk menerajui kecemerlangan dari setiap sudut demi manfaat para pendeposit.

“Ahli-Ahli Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan kepada Syed Hamadah atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang tempoh dua tahun memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA