BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada US$118.7 Bilion Pada 30 April

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada US$118.70 bilion pada 30 April, 2025 daripada US$118.40 bilion pada 15 April, 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat menjelaskan paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa itu meliputi rizab mata wang asing (US$105.5 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.8 bilion), emas (US$3.8 bilion) dan aset rizab lain (US$2.3 bilion).

Jumlah aset sebanyak RM639.84 bilion, merangkumi emas dan pertukaran asing, dan rizab lain termasuk SDR (RM526.27 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM12.81 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM7.59 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM26.89 bilion), tanah dan bangunan (RM4.58 bilion), dan aset-aset lain (RM61.67 bilion).

BNM menjelaskan modal dan liabiliti berjumlah RM639.84 bilion meliputi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM190.94 bilion), mata wang dalam edaran (RM174.15 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM149.65 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM4.78 bilion), deposit lain-lain (RM77.86 bilion), Kertas Bank Negara (RM10.57 bilion), peruntukan SDR (RM28.38 bilion), dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.36 bilion).

-- BERNAMA