ASEAN Terap Pelan Ekonomi Padu Untuk Anjakan Ke Arah Pasaran Tunggal

Komentar Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Pemimpin perkumpulan 10 anggota Asia Tenggara menerima pakai strategi ekonomi baharu yang berwawasan dengan menyasarkan ASEAN yang maju sebagai pusat pertumbuhan di rantau Asia Pasifik yang lebih besar selain melonjakkan kedudukannya sebagai ekonomi keempat terbesar dunia.

Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026 - 2030 yang diterima pakai oleh para pemimpin pada Isnin kini memasuki fasa pelaksanaan dengan setiap sektor AEC membangunkan rancangan sektoralnya sendiri, menterjemahkan matlamat strategik kepada tindakan konkrit, garis masa dan petunjuk prestasi.

Pelan ini dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2025.

Dokumen itu menyentuh pelbagai topik termasuk aspirasi untuk menjadi pasaran tunggal yang makmur serta pelan rancangan baharu merangkumi peningkatan penggunaan mata wang tempatan untuk urus niaga rentas sempadan, mempertimbangkan megatrend, merangka semula integrasi ekonomi serta penekanan yang lebih terhadap transformasi digital dan teknologi.

Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) mula ditubuhkan pada 2003 dan memberi tumpuan kepada meningkatkan integrasi melalui pergerakan bebas perkhidmatan selain pergerakan bebas barangan.

Visi ini dipertingkatkan dengan pengenalan Pelan Tindakan AEC 2016-2025 dengan skop integrasi yang diperluaskan supaya lebih selaras dengan ekonomi global.

Di bawah rangka kerja ini, ASEAN giat meneruskan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang menyeluruh dengan rakan utama luar, mengukuhkan kedudukannya sebagai blok ekonomi yang dinamik dan tidak fokus kepada dalaman sahaja.

Jangka masa 10 tahun memberikan perspektif yang lebih luas dan jangka panjang untuk menerajui integrasi ekonomi ASEAN, pelaksanaan Pelan Tindakan AEC 2025 bagi 2016 – 2025 menekankan keperluan untuk lebih fleksibel dan responsif dalam perubahan pesat geopolitik dan keadaan ekonomi.

Oleh itu, berbeza dengan pelan sebelumnya, Pelan Strategik AEC meliputi tempoh hanya lima tahun - satu keputusan yang realistik membolehkan perkumpulan ini melakukan semakan dengan lebih tepat pada masanya serta memberikan fleksibiliti yang lebih tinggi dalam mendepani cabaran masa depan.

Dalam pelan untuk menggunakan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan, mengambil kira megatrend yang telah menjadi elemen utama dalam landskap global yang sentiasa berubah serta penekanan terhadap transformasi digital dan teknologi yang diperlukan pada masa ini, aspirasi ASEAN sebagai pasaran tunggal masih agak jauh.

Perkumpulan blok 10 anggota itu telah mencatatkan pencapaian luar biasa dalam mengurangkan tarif ke atas barangan dagangan antara mereka, dengan enam negara pengasas Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand (ASEAN-6) dan pada kadar yang lebih perlahan - Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV).

Tetingkap Tunggal ASEAN turut memainkan peranan penting dalam memudah cara pembayaran kastam serantau.

Bagaimanapun, gesaan kepada meningkatkan perdagangan intra-ASEAN dan usaha ke arah pasaran tunggal ASEAN yang pada mulanya disasarkan pada 2015, telah berkembang walaupun perlahan.

Jumlah perdagangan ASEAN meningkat dengan ketara kepada US$3.8 trilion pada 2024 daripada US$2.3 trilion pada 2015 tetapi perdagangan intra ASEAN hanya naik kepada US$0.8 trilion daripada US$0.5 trilion sepanjang tempoh tersebut.

Terdapat juga bidang sukar lain seperti mobiliti buruh, terutamanya bagi pekerja berkemahiran tinggi.

Menurut laporan Bank Dunia yang dikeluarkan pada 2017, pekerja migran dari ASEAN selalunya berkemahiran rendah dan tidak memiliki dokumen sah yang menyebabkan mereka terpaksa berpindah bagi mencari peluang ekonomi, terutamanya dalam sektor pembinaan, perladangan dan perkhidmatan domestik.

Walaupun AEC telah mengambil langkah untuk memudahkan mobiliti, peraturan ini hanya meliputi  profesion mahir tertentu dan keseluruhan prosedur migrasi di seluruh ASEAN masih terhad.

Begitu juga, liberalisasi sektor perkhidmatan dan integrasi pasaran modal masih dalam proses pelaksanaan.

“Rancangan membentuk Pasaran Tunggal (ASEAN) mungkin tidak dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun akan datang walaupun terdapat ketidaktentuan geopolitik akibat daripada langkah (tarif) Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang telah memberi dorongan kepada ASEAN untuk mencapai sasaran tersebut,” kata Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan Universiti Nottingham Malaysia Dr Tan Chee Meng.

Beliau berkata di tengah-tengah cabaran yang wujud pada masa ini, pasaran tunggal memerlukan penyelarasan dasar namun jurang pendapatan antara negara ASEAN-6 (enam ekonomi utama ASEAN) yang maju seperti Singapura berbanding negara membangun seperti Kemboja akan melemahkan keupayaan blok serantau itu untuk mewujudkan pasaran tunggal dalam masa terdekat.

“Sebagai contoh, pendigitalan ekonomi bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan malah menambah baik kebolehcapaian pasaran untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Beliau berkata walaupun infrastruktur ini tersedia di kebanyakan negara ASEAN-6, namun keadaan sebaliknya di beberapa negara kurang membangun di rantau ini. 

Menurutnya, ASEAN perlu merapatkan ketidaksamaan dalam jurang pembangunan antara negara anggota sebelum satu pasaran tunggal dapat dicapai dan ini sudah pastinya akan mengambil masa.

Selain itu, Tan berkata terdapat juga halangan lain yang perlu diberi tumpuan utama oleh ASEAN, termasuk dasar perlindungan.

“Dasar perlindungan seperti halangan perdagangan bukan tarif yang menyekat pergerakan masuk atau keluar barangan dari negara ASEAN perlu ditangani, terutamanya apabila rakan dagang ialah negara anggota ASEAN lain,” katanya.

Bagi meningkatkan keyakinan bahawa pertikaian perdagangan boleh diselesaikan dan integrasi ekonomi dapat dicapai, rantau ini perlu menggunakan Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) blok tersebut.

Bagaimanapun, Tan berpandangan mekanisme ini nampaknya kurang dimanfaatkan, yang mungkin boleh menjadi penghalang utama dalam mencapai sasaran pasaran tunggal.

Pelaksanaannya juga merupakan satu isu, katanya.

Tidak seperti Kesatuan Eropah (EU), ASEAN bukan satu kesatuan politik.

“Negara anggota EU dikehendaki mematuhi dasar kesatuan sebagai syarat keahlian, namun negara-negara ASEAN mempunyai banyak autonomi dalam menetapkan agenda nasional mereka sendiri.

“Dasar saling menghormati antara negara anggota ASEAN merupakan antara tarikan terbesar blok itu namun, pada masa yang sama, nampaknya ia juga menjadi salah satu halangan terbesar juga,” katanya.

Beliau berkata sistem politik berbeza dalam kalangan negara anggota juga mungkin mempengaruhi cara mereka menguruskan ekonomi, yang berkemungkinan menjadi punca konflik dengan negara anggota lain mempunyai nilai politik berbeza.

Melangkah ke hadapan, ASEAN perlu terlebih dahulu meruntuhkan halangan perdagangan dalam kalangan negara anggota dan meningkatkan perdagangan serantau bagi memastikan usaha ke arah mengintegrasikan ekonomi dapat dicapai.

Apa yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh ASEAN ialah melaksanakan terlebih dahulu pasaran tunggal dalam kalangan ASEAN-6 sebelum mengembangkan idea itu ke seluruh rantau.

Jika ini dapat dicapai maka negara anggota lain mungkin boleh mengikutinya dan pada masa itu, idea satu pasaran akan berubah menjadi satu realiti, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


SM MR NJ ZK