BERITA TERKINI   Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | ASEAN mahu proses dokumentasi keanggotaan Timor-Leste disiapkan sebelum Kemuncak ASEAN pada Oktober - Mohamad | 

SCIB Lantik Pengamal Undang-undang Sebagai Pengerusi Eksekutif Dalam Rombakan Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) mengumumkan rombakan lembaga pengarah bagi meningkatkan tadbir urus korporat, mengukuhkan kepimpinan dan menyokong inisiatif pertumbuhan strategik.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pakar sistem bangunan perindustrian itu berkata Datuk Chong Loong Men telah dilantik sebagai pengerusi eksekutif yang baharu.

“Chong mempunyai pengalaman yang luas dalam perundangan dan kawal selia, kerana memulakan kerjayanya sebagai timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara sebelum beralih ke sektor swasta.

“Beliau merupakan pengasas bersama firma guaman terkemuka dan telah berkhidmat sebagai lembaga pengarah di beberapa syarikat tersenarai awam, sekali gus membawa pengalaman berharga mengenai kawal selia dan tadbir urus korporat,” kata SCIB.

Syarikat itu juga mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Datuk Seri Zaini Jass dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kang Wei Luen, Ooi Hoot Kuang dan Ng Cheng Shin.

Sementara itu, Tan Li Peng akan menyertai lembaga pengarah sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Tan, pengamal undang-undang yang mengkhusus dalam undang-undang korporat, mempunyai lebih 15 tahun pengalaman perundangan dan ketika ini berkhidmat sebagai rakan kongsi di Messrs Loh Poh Seng & Co.

Turut dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif ialah Leow Wey Seng.

Beliau mempunyai pengalaman profesional termasuk khidmat nasihat dan jaminan di Deloitte, serta berperanan sebagai penasihat korporat dan terlibat dalam syarikat perdagangan milik keluarga, khususnya mengenai strategi korporat dan pengurusan operasi.

-- BERNAMA