BERITA TERKINI   Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | 

Singda Superalloy Labur RM900 Juta, Lonjak Industri Logam Termaju Johor

JOHOR BAHRU, 13 Jun (Bernama) -- Johor semakin rancak dalam usaha menarik minat pelabur asing apabila Jiangsu Longda Superalloy dari China, melalui anak syarikatnya Singda Superalloy (Malaysia) Sdn Bhd, memuktamadkan komitmen pelaburan berskala besar bernilai RM900 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata pelaburan itu merupakan antara pelaburan lansung asing (FDI) terbesar dalam sektor bahan berprestasi tinggi di Malaysia, setakat ini.

“Fasa pertama projek ini melibatkan nilai pelaburan RM250 juta bagi pembinaan kemudahan pengeluaran di Johor, yang dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan logam, teknologi material dan kawalan kualiti,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya pada Jumaat.

Beliau berkata perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat penyelarasan teknikal bersama Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Johor baru-baru ini.

Produk utama Singda termasuk superaloi berasaskan nikel, titanium dan logam khas tahan suhu tinggi yang digunakan dalam sektor penting seperti bilah turbin jet dalam industri aeroangkasa, komponen dalam loji tenaga dan nuklear serta peralatan perubatan berketepatan tinggi.

“Kehadiran Singda akan menjadi pemangkin kepada pengembangan industri berasaskan logam termaju di Johor, sekali gus menarik lebih banyak syarikat sokongan dan pelaburan huluan dan hiliran,” katanya.

Lee berkata syarikat itu turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam aspek latihan pekerja tempatan dan menjalinkan hubungan strategik dengan universiti tempatan bertujuan membangunkan lulusan dalam bidang metalurgi dan aeroangkasa.

Beliau menyifatkan pelaburan itu sejajar dengan aspirasi Johor ke arah menjadi ekonomi berteknologi tinggi, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

“RM900 juta bukan sekadar angka, malah juga keyakinan terhadap masa depan Johor sebagai hab industri pintar Asia Tenggara,” katanya.

-- BERNAMA