BERITA TERKINI   Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | ASEAN mahu proses dokumentasi keanggotaan Timor-Leste disiapkan sebelum Kemuncak ASEAN pada Oktober - Mohamad | 

ASM Automation Disenaraikan Di Pasaran ACE, Sasar Pengembangan Global

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- ASM Automation Group Bhd yang membuat kemunculan di Pasaran ACE menyasarkan untuk memacu pertumbuhan masa hadapan dengan mengembangkan kehadirannya dan mempertingkatkan penyelesaian jentera automasi di Malaysia serta pasaran global utama.

Pengarah urusan Chan Kok Heng berkata kumpulan itu kekal positif dan yakin, disokong oleh kepercayaan yang ditunjukkan oleh pasaran dan para pelaburnya.

“Ini juga merupakan bukti kekuatan model perniagaan kami, rekod prestasi yang terbukti dan potensi kukuh dalam industri penyelesaian jentera automasi.

“Pada masa akan datang, kami akan memberi tumpuan untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham dengan melaksanakan strategi pertumbuhan kami dan mengekalkan komitmen terhadap kualiti dan inovasi,” katanya pada sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian itu hari ini.

Pada 9 pagi, syarikat itu yang berkepakaran dalam penyelesaian jentera automasi membuat penampilan sulung di Pasaran ACE pada harga 17 sen, tidak berubah daripada harga tawaran dengan 57,293 saham diniagakan.

ASM Automation berkata ia akan memperuntukkan RM11.40 juta untuk membina kilang baharu, RM2.30 juta untuk membeli mesin, peralatan dan komponen serta penglibatannya dengan pelanggan, RM2 juta untuk aktiviti reka bentuk dan pembangunan bagi meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan, RM1.92 juta untuk modal kerja dan RM4.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

-- BERNAMA