ASEAN Perlu Bangunkan 'Gergasi' Serantau, Elak Kebergantungan FDI Dan Eksport - Liew
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 3 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu menumpukan usaha membangunkan ‘gergasi’ dalam bentuk syarikat dan teknologinya sendiri selain berganjak daripada model ekonomi yang bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) atau perindustrian berasaskan eksport, terutama dalam ketidaktentuan global semasa.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata rantau ini berada dalam kedudukan baik untuk mewujudkan asas berkaitan, dengan negara anggota seperti Malaysia dan Singapura mempunyai sektor pembuatan yang kukuh.
“Kita perlu memikirkan cara untuk membangunkan gergasi ASEAN, (malah) sudah harus memulakan usaha mewujudkan teknologi ASEAN. Bayangkan dalam masa 10 tahun, kita mempunyai syarikat gergasi (China dan Korea Selatan) mini Huawei atau Samsung.
“Dalam ekonomi multipolar ini, ada masanya kita perlu bersatu dan tegaskan bukan sahaja pasaran ASEAN yang bersepadu, tetapi juga mahukan lebih banyak syarikat ASEAN, teknologi serta pengukuhan rantaian bekalan ASEAN,” katanya pada sesi dialog menteri di Persidangan ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Persidangan itu adalah acara tahunan anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura yang menghimpunkan kalangan pembuat keputusan utama dari sektor swasta dan awam, terutamanya di ASEAN, bagi membincangkan pelbagai topik berkaitan perniagaan dan pelaburan.
Mengulas selanjunya, Liew berkata menerusi satu dasar perindustrian ASEAN, rantau ini mampu menyakskan landskap dan trajektori ekonomi yang berbeza.
“Pada tahap tertentu misalnya, kita perlu melontarkan pertanyaan yang akan menjurus kepada (penggubalan) satu dasar perindustrian ASEAN. Setiap ekonomi (negara), kecuali mungkin Indonesia, adalah terlalu kecil untuk melaksanakan dasar perindustrian secara sendirian,” katanya.
Sehubungan itu, Liew menyifatkan ASEAN mempunyai peluang unik bagi merangka hala tujunya dalam tempoh 20 tahun akan datang dan pada era yang cirinya dibentuk oleh pelbagai rantaian bekalan serantau dan dipengaruhi oleh geopolitik dan peperangan, seiring dengan Wawasan ASEAN 2045.
Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia selaku pengerusi ASEAN, juga berharap dapat menjadi pemacu anjakan paradigma.
Sesi dialog itu turut mengetengahkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong serta Timbalan Menteri Pelaburan dan Kerjasama Kementerian Pelaburan dan Industri Hiliran Indonesia Tirta Nugraha Mursitama.
Selepas sesi itu, Liew dan Gan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak antara United Overseas Bank (UOB), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Pengilang Singapura (SMF).
Dalam kenyataan berasingan, UOB berkata kerjasama itu bertujuan mengukuhkan koridor perkilangan Malaysia-Singapura dengan memanfaatkan rangkaian serantau dan kepakaran sektor bank itu bagi membantu perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang merentasi sempadan, mengakses pasaran baharu serta pertumbuhan secara mampan.
“Perjanjian itu juga adalah berasaskan momentum Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura,” katanya.
Liew turut menekankan, antara visi utama yang digariskan untuk JS-SEZ adalah mewujudkan ekosistem rantaian bekalan lebih bersepadu dan berdaya tahan merentasi sempadan Malaysia-Singapura.
“MoU antara FMM, SMF dan UOB itu tepat pada masanya bagi melaraskan kekuatan Malaysia dan Singapura bagi mencapai pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih hebat dalam iklim perdagangan global semasa,” katanya.
-- BERNAMA