BERITA TERKINI   Pada 6 petang ini, ringgit mengukuh di paras 4.0245/0320 berbanding dolar AS daripada 4.0295/0350 Jumaat lepas | Misi bawa 30 kontena bantuan kemanusiaan bakal beri manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk Palestin - MB Selangor | Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 libatkan hampir 3,000 peserta dari kira-kira 100 negara - MB Selangor | Weststar Aviation Services menyasar untuk menambah jumlah pesawat kepada 60 daripada 32 dalam tempoh dua tahun | Kos operasi Weststar Group kekal tidak terjejas dengan harga minyak dan gas semasa kerana perbelanjaan bahan api dianggap pelepasan kos mengikut kontrak | 

Banyak Bandar Satelit Dijangka Wujud Impak Pembangunan JS-SEZ - MB Johor

KLUANG, 6 Julai (Bernama) — Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka memberi limpahan manfaat bukan sahaja di sekitar Johor Bahru, malah turut dirasai di semua 10 daerah negeri ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata inisiatif pembangunan itu bakal menyaksikan kewujudan lebih banyak bandar satelit sekali gus memastikan tiada daerah yang tertinggal dari segi infrastruktur dan kemajuan.

Menurut beliau, selain melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri, JS-SEZ juga akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dengan Johor bakal muncul sebagai destinasi utama.

Katanya, kerajaan negeri akan mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan kawasan menarik di seluruh Johor sempena Tahun Melawat Johor yang akan datang.

“Sedikit demi sedikit, daerah sekitar JS-SEZ sudah mula menerima limpahan pembangunan. Sebagai contoh, kawasan Simpang Renggam dan Renggam di Kluang kini sedang merasai impaknya. Seterusnya, pembangunan ini akan berkembang ke daerah lain.

“Kalau di Lembah Klang, Seremban dikenali sebagai bandar satelit…di Johor pula, kita menjangkakan Kluang bakal menjadi satu daripada bandar satelit utama hasil pembangunan JS-SEZ,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Majestic Johor x Renggam Fiesta di TMIYC Renggam di sini hari ini.

JS-SEZ merangkumi kawasan pembangunan utama seperti Iskandar Malaysia, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru dengan jumlah keluasan tanah sekitar 357,128 hektar.

Wilayah Iskandar Malaysia turut berada dalam kawasan strategik JS-SEZ seperti Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas–Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai–Skudai dan Sedenak.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata pembangunan pesat dalam sektor pengangkutan turut menyokong keterhubungan di antara daerah-daerah dengan JS-SEZ termasuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura serta Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.

“Kesemua projek ini akan menghubungkan daerah-daerah di Johor secara lebih cekap dengan kawasan tumpuan di JS-SEZ dan pembangunan ini akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

-- BERNAMA