BERITA TERKINI   RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk tambah kerusi DUN Sarawak diluluskan | Projek Inklusif Digital NADI Malaysia oleh MCMC juara Hadiah World Summit on the Information Society 2025 | Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn tiba di Malaysia pada Selasa untuk hadiri AMM ke-58 | 

Malaysia Sokong Gesaan BRICS Bagi Tadbir Urus AI, ASEAN Di Haluan Sama - PM Anwar

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 6 Julai (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan Kenyataan BRICS mengenai Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) dan menyokong penuh visi AI yang menerapkan pembangunan berbanding dominasi, beretika, mengurangkan ketidaksamaan serta menghormati maruah insan.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha Malaysia, termasuk Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan dan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI turut memaparkan prinsip-prinsip serupa.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menerajui penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN, satu inisiatif serantau bertujuan mengukuhkan tadbir urus dan kapasiti dalam domain yang bergerak pantas ini,” kata beliau pada sesi Intervensi Negara Anggota di Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan menyifatkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN sebagai satu platform yang penting.

“Menerusi pelaburan dan piawaian yang tepat, ekonomi digital ASEAN mampu mencecah US$2 trilion menjelang 2030. Ini adalah satu peluang yang tidak harus disia-siakan,” kata Anwar.

Sambil menegaskan komitmen Malaysia terhadap pertumbuhan yang inklusif atau terangkum, Perdana Menteri berkata masa depan akan turut dibentuk oleh penyelesaian secara kolektif.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan BRICS dan rakan lain bagi ekonomi global yang lebih adil, masa depan digital lebih teratur serta multilateralisme yang dapat memberi manfaat,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata penglibatan aktif Malaysia dalam tadbir urus digital dan AI global juga memaparkan visi lebih meluas untuk mewujudkan satu orde atau aturan antarabangsa yang seimbang dan terangkum yang berteraskan keadilan serta kemajuan bersama.

Pada masa sama, Anwar juga mengulangi pendirian Malaysia mengenai multilateralisme atau pelbagai hala yang disifatkan sebagai penting bagi kestabilan global, kemakmuran bersama serta martabat negara.

“Bagi memastikan multilateralisme ini kekal relevan, ia mesti lebih daripada sekadar mengutarakan aspek kesamaan nilai. Ia mesti menghasilkan manfaat dan memberi tindak balas terhadap realiti dunia hari ini yang menyaksikan pemecahan pasaran jauh lebih pantas berbanding kemampuan peraturan,” kata beliau.

Sehubungan itu, kata Anwar, Malaysia mengalu-alukan komitmen BRICS terhadap sistem perdagangan yang inklusif dan berteraskan undang-undang.

“Tema ASEAN 2025 di bawah Kepengerusian Malaysia – “Keterangkuman dan Kemampanan” adalah seiring dengan keutamaan itu,” kata Perdana Menteri.

Perkumpulan BRICS yang berperanan sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara-negara Selatan Global dengan kerjasama yang merentasi pelbagai sektor, pada asalnya ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China.

Blok itu kemudiannya berkembang dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2011 dan seterusnya Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023 serta Indonesia pada 2024.

Malaysia serta Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan telah diterima sebagai negara rakan BRICS.

Anwar tiba awal hari ini atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung pada 6-7 Julai.

Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.

-- BERNAMA