BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Tinggi Berikutan Permintaan Lebih Baik

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi berikutan permintaan lebih baik di tengah-tengah laporan terkini pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS), mengikut seorang peniaga.

Sementara itu, media melaporkan kenyataan terkini Presiden AS Donald Trump, yang memberi amaran mengenai tarif baharu ke atas negara sekutu dengan dasar BRICS dan menetapkan tarikh akhir 1 Ogos untuk rundingan baharu dengan China, telah mencetuskan sentimen menolak risiko dalam pasaran, mendorong pelabur memilih aset selamat seperti emas.

Kontrak semerta bulan Julai 2025 meningkat kepada US$3,337.80 setiap auns troy daripada US$3,320.80 pada Isnin, kontrak Ogos 2025 naik kepada US$3,353.20 daripada US$3,335.90, dan kontrak September 2025 melonjak kepada US$3,368.10 daripada US$3,350.80 sebelumnya.

Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 masing-masing menokok kepada US$3,386.90 daripada US$3,369.60 pada Isnin.

Jumlah dagangan meningkat kepada 31 lot berbanding 21 lot semalam, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 61 kontrak daripada 41 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 7 Julai 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,315.35 setiap auns troy.

-- BERNAMA